Search This Blog

Wednesday, April 21, 2010

Doktor mati melambung

HULU SELANGOR: Mengerikan apabila seorang doktor melambung dan tercampak keluar dari kereta dipandu selepas kenderaannya hilang kawalan sebelum merempuh pacuan empat roda di hadapannya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, semalam, doktor lelaki itu terhumban lebih 20 meter ke atas jalan dari kereta Toyota Vios dipandunya dan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Sumber polis berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa memandu bersendirian melalui kilometer 418.7 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar ke Bukit Tagar di sini.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kereta dipandu doktor berkenaan hilang kawalan akibat permukaan jalan licin ketika hujan sebelum merempuh belakang sebuah pacuan empat roda.

“Pelanggaran kuat itu menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum terbalik di laluan kiri lebuh raya. Kesan hentaman itu dipercayai menyebabkan mangsa tercampak keluar dari tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun, mangsa yang berlumuran darah disahkan mati di tempat kejadian. Mangsa dikenal pasti sebagai, Sriganesha Lingam Ramasamy, 32,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan penemuan beberapa dokumen, mangsa disahkan seorang doktor yang berkhidmat di sebuah klinik di ibu negara.

“Pada masa sama, pelanggaran itu turut mengakibatkan pacuan empat roda terbabit terbabas ke dalam longkang. Kenderaan itu turut bergesel dengan sebuah lori yang sarat membawa muatan itik.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda dan lori berkenaan hanya cedera ringan. Difahamkan lori membawa 1,400 itik terbabit dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Singapura,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, pihaknya percaya kemalangan ngeri itu ada kaitan dengan faktor pemanduan laju selain keadaan jalan licin akibat hujan.

Menurutnya, polis masih menyiasat punca kejadian dengan mengambil keterangan saksi kejadian dan pemandu pacuan empat roda yang terbabit dalam pelanggaran itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment