Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Diserang lotong jantan





2010/04/16
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MASJID TANAH: Seorang wanita warga emas di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi, yang diserang seekor lotong jantan ketika berada di halaman rumahnya pada dua minggu lalu masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi apabila mangsa, Samidah Hamid, 74, mendakwa secara tiba-tiba diterkam lotong jantan berkenaan di halaman rumah hingga terpaksa menerima tujuh jahitan pada lengan kanannya.
Ibu tunggal kepada sembilan anak itu, berkata dia baru keluar untuk duduk di atas pangkin di kawasan halaman rumah apabila tiba-tiba muncul seekor lotong jantan berbadan besar bersaiz seperti kanak-kanak berusia tiga tahun yang menerkamnya dari arah belakang dipercayai selepas terjun dari bumbung.

Menurutnya, keadaan menjadi kelam-kabut apabila haiwan berkenaan bertindak liar merobek lengan baju yang dipakainya sehingga terkoyak sebelum lotong terbabit memaut lengannya lalu menggigitnya.

"Sebelum itu, saya langsung tidak menyedari terdapat seekor lotong jantan berada di atas bumbung dapur, lalu terus keluar ke halaman rumah tanpa mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku.

"Lebih mengerikan apabila lotong berkenaan turut menyentap lengan baju sehingga koyak sebelum haiwan menggigit lengan kanan saya.

"Saya cuba meronta-ronta dengan menarik lengan sekuat hati dan mengetuk kepala haiwan berkenaan menggunakan tangan kiri, namun kudrat tidak berdaya. Semakin kuat saya pukul, semakin kuat ia menggigit sehingga terasa pedih," katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Katanya, ketika kejadian, sembilan anaknya tiada di rumah kerana bekerja dan kejadian berkenaan menyebabkan dia berasa bimbang untuk duduk di halaman rumah seorang diri.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim, 40, berkata dia berasa begitu terkejut dengan kejadian menimpa jirannya itu dan tidak menyangka kejadian seumpama berkenaan boleh berlaku hingga menimbulkan kegemparan kepada penduduk lain kerana membabitkan warga emas.
Menurutnya, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan untuk menangani masalah berkenaan kerana ia dibimbangi mengganggu penduduk lain pada masa depan.

Harian Metro turut difahamkan, selepas terkejut dengan jeritan kuat Samidah, haiwan liar berkenaan terus melepaskan gigitannya sebelum hilang di kawasan semak di belakang rumah.

Berikutan kejadian itu, seramai 40 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Mukim Kuala Linggi diketuai Ketua Perhubungan Rela (PPR), Abu Kasim Ahmad melakukan operasi menembak lotong yang juga musuh tanaman dan membunuh sejumlah 20 ekor lotong jantan, 18 ekor kera jantan dan 225 ekor tupai.

No comments:

Post a Comment