Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

Bukit Nanas markas peragut


HALANG...seorang lelaki dipercayai pengedar dadah cuba menghalang jurugambar  merakam wajahnya.
HALANG...seorang lelaki dipercayai pengedar dadah cuba menghalang jurugambar merakam wajahnya.


KUALA LUMPUR: Sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Nanas di sini, tidak ubah seperti lubuk jenayah ekoran kerap menjadi lokasi ragut sekumpulan lelaki dipercayai penagih di bawah bukit berkenaan.
Malah, mereka juga dipercayai menjalankan aktiviti jual-beli dadah di bawah bukit berkenaan tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan sekitar selain berlagak selamba seolah-olah mereka kebal dari tindakan pihak berkuasa.
Penempatan yang berada di penjuru bawah hutan simpan itu, menjadi sarang mereka memantau mangsa dan pelanggan yang lalu lalang di jalan raya berdekatan.

Difahamkan, mangsa yang melalui kawasan berkenaan akan diperangkap kumpulan penagih itu dan menakut-nakutkan mangsa, kemudian meragut barang berharga dan melarikan diri ke hutan simpan berkenaan. Tempat persembunyian mereka yang dibina daripada bahan buangan seperti kotak, plastik, kayu, payung buruk serta papan lama itu juga dijadikan sebagai ‘port’ pelanggan mencari ‘barang’ dipercayai dadah.

Tinjauan Metroplus baru-baru ini mendapati seorang dari kumpulan itu dilihat sedang berurusniaga di kawasan terbabit, berhampiran Jalan Raja Chulan di sini.

Ada yang dilihat sedang tidur, malah ada yang sedang mandi dari punca air yang dicuri dari bangunan berdekatan.

Mereka tidak malu dilihat sebegini oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan berdekatan, malah menunjukkan muka bengis ketika membalas pandangan orang ramai.

Difahamkan, masih terdapat banyak lagi pondok di kawasan atas bukit itu, namun gagal didekati.

Seorang pekerja di bangunan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Zamrin, 30, memberitahu penagih di situ bukan saja meragut orang ramai, malah pelajar di sekolah berdekatan.
“Pernah saya melihat mereka turun dari bukit berkenaan beramai-ramai kemudian mengugut seorang pelajar yang pulang dari sekolah sebelum merampas duit pelajar berkenaan.

“Pekerja wanita di sini juga tidak terlepas, mereka yang berseorangan akan turut sama diragut kumpulan itu,” katanya lagi. Seorang pengunjung bangunan berdekatan, Haizam, 30, berkata kawasan berkenaan memang terkenal dengan kes ragut.

“Pihak pengurusan di bangunan ini memberi peringatan kepada wanita yang bekerja di situ untuk pulang awal dan ditemani.

“Kebanyakan kes berlaku ketika waktu habis bekerja, sekitar jam 5 petang,” katanya Sementara itu, Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Norliana Husna Khor Abdullah, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung aktiviti berkenaan di kawasan terbabit.

No comments:

Post a Comment