Search This Blog

Monday, April 12, 2010

Balai polis jadi pilihan lokasi serah anak





MOHAMAD Soed Mahamud menunggu di luar, manakala Napisah Sulaiman dilihat keluar daripada Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 11 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan balai polis di sekitar Perlis dijadikan lokasi penyerahan lima anak Mohamad Soed Mahamud, 37, kepada bekas isterinya, Napisah Sulaiman, 41, pada masa akan datang bagi tujuan keselamatan.
Hakim Syarie, Mohd. Yusof Awang mengeluarkan arahan itu selepas bersetuju dengan peguam ke dua-dua belah pihak yang mencadangkan balai polis berhampiran tempat tinggal defendan iaitu Mohamed Soed dijadikan kawasan paling selamat bagi tujuan tersebut.
''Sekiranya kepentingan dan keselamatan anak-anak dalam proses penyerahan tersebut dipersetujui di balai polis, buatlah di sana," katanya.
Bagaimanapun, sebelum itu, beliau mengarahkan kedua-dua belah pihak agar menyerahkan kepada mahkamah draf kaedah sulh (penyelesaian secara damai) berhubung dengan persetujuan secara bertulis, waktu penyerahan dan lokasi yang dipersetujui bersama.
''Draf sulh berhubung persetujuan pembahagian masa untuk penjagaan sementara anak-anak hendaklah diserahkan kepada mahkamah terlebih dahulu, sebelum permohonan dan arahan lain dibuat," katanya.
Pada 2 Disember lalu, mahkamah telah mengeluarkan hak penjagaan sementara kepada Napisah iaitu kelima-lama anak pasangan itu akan dipelihara olehnya ketika cuti sekolah manakala pada waktu lain diletakkan di bawah jagaan Mohamad Soed.
Sehubungan itu, pada 1 Februari lepas, plaintif melalui peguamnya, Mohd. Zaki Zainal Abidin mengemukakan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) agar perintah itu diteruskan demi kebajikan anak-anak tersebut.
Pada hari yang sama, Utusan Malaysia melaporkan Napisah menangis kegembiraan apabila bertemu semula dengan lima anaknya yang didakwa dilarikan oleh bekas suami ke Perlis dua tahun lalu.
Permohonan ex-parte itu dipersetujui oleh responden melalui peguamnya Suhaila Ibrahim dan hakim mengarahkan kanak-kanak itu diserahkan kepada Napisah semasa cuti persekolahan sempena Tahun Baru Cina pada 14 Februari lepas.
Hakim juga menetapkan hari ini untuk sebutan bagi memastikan perintah tersebut dilaksanakan sepenuhnya. Bagaimana pun hakim meminta plaintif menyerahkan dahulu draf sulh tersebut.
Ini bermakna mahkamah masih memberi ruang kepada pihak plaintif meneruskan hak penjagaan sementara terhadap lima anak-anaknya, Nurul Nabilah, 14; Muhamad Najib, 12; Nurashikin Aisyah, 10; Muhammad Irfan Fahmi, 8; dan Muhammad Nibil Adib, 6,.
Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, peguam plaintif mendakwa anak guamnya gagal melaksanakan arahan mahkamah untuk mengambil anak-anaknya semasa cuti sekolah Tahun Baru Cina yang lepas kerana bekas suaminya hanya membenarkan dia seorang datang ke Perlis.
''Dalam perbualan telefon antara mereka, hanya anak guam saya dibenarkan datang mengambil lima anak-anaknya di Perlis dan timbul prejudis dalam kes ini kerana sebagai wanita, dia bimbang keselamatannya ke sana seorang diri dan mahu membawa pulang lima anak yang menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Tanah Merah," katanya.
Sementara itu, peguam defendan pula menegaskan, anak guamnya tidak bermaksud untuk menghalang bahkan telah membenarkan anak- anaknya berbual sebanyak dua kali melalui telefon dengan ibu mereka.
''Anak guam saya menyatakan bekas isterinya boleh datang mengambil anak-anak malah dibenarkan melaporkan ke balai polis untuk mengiringinya ke rumah jika bimbang keselamatan dirinya.
''Malah plaintif juga menyatakan persetujuan menyerahkan hak penjagaan kekal kepada bekas suaminya, bagaimana pun ia masih dalam perbincangan," katanya.
Mahkamah menetapkan 3 Mei hadapan sebagai tarikh rekod persetujuan bagi kes tuntutan hak penjagaan anak itu.
Sebaik prosiding selesai, timbul salah faham plaintif apabila dilihat memarahi beberapa jurugambar yang menunggu di luar mahkamah untuk merakamkan gambarnya, lebih-lebih lagi melihat bekas suaminya berbual dengan pihak media.

No comments:

Post a Comment