Search This Blog

Wednesday, April 21, 2010

Awan debu semakin berkurangan





2010/04/21

SEBUAH helikopter terbang melintasi gunung berapi Eyjafjallajokull,  di   tenggara Reykjavik.
SEBUAH helikopter terbang melintasi gunung berapi Eyjafjallajokull, di tenggara Reykjavik.
Gunung berapi Iceland kini banyak keluarkan lahar secara perlahan 

REYKJAVIK: Gunung berapi di Iceland yang meletus dan menyebabkan lalu lintas udara di Eropah terjejas teruk, sejak minggu lalu, terus memuntahkan lahar semalam tetapi jumlah debu dikeluarkan berkurangan berbanding sebelum ini, kata seorang pegawai meteorologi Iceland.
Pegawai kanan geografi di jabatan meterologi, Sigtrudur Arnsdottir, berkata perkembangan ini sekali gus menyebabkan awan debu terbentuk pada kedudukan yang rendah di langit. “Lahar terus dikeluarkan secara perlahan sejak semalam. Kami mengetahuinya malam tadi. Kami melihat lebih banyak lahar sekarang,” katanya. 

Pakar Meteorologi, Bjorn Einarsson turut bersetuju dengan kenyataan Arnsdottir dan berkata pengaliran lahar bermakna gunung berapi di bawah glasier Eyjafjallajokull, 120 kilometer ke tenggara Reykjavik semakin kurang mengeluarkan debu. 

“Gegaran di gunung berapi meningkat sedikit, tetapi ia bukan petunjuk terhadap jumlah debu yang dikeluarkan. Ia sudah berubah kepada letusan yang mengeluarkan lahar. 

“Awan debu semakin berkurangan kerana tiada air sebagai bahan campuran. Anda boleh merasa lebih banyak gegaran di sekitar gunung berapi itu kerana laharnya sedang mengalir keluar,” katanya. 
Einarsson berkata, pihaknya memperoleh laporan daripada seorang juruterbang kira-kira sejam lalu bahawa awan debu berada pada ketinggian 4,877 meter. 

“Kami membuat andaian kebanyakan awan debu berada pada kedudukan yang rendah di langit. Sebelum ini ia berada pada ketinggian 6,000 meter. 

Rakaman sebuah kamera litar menunjukkan aliran asap secara berterusan tetapi perlahan dari kawah gunung berapi itu dan membentuk gumpalan awan yang sangat besar. 

“Perkembangan ini menunjukkan keadaan gunung berapi itu kini semakin berubah dan kami sedang memantaunya,” katanya. 

Sementara itu, pengawal trafik udara Britain berkata, gumpalan awan debu yang baru kini menghala ke beberapa laluan udara yang utama dan beberapa negara menutup lapangan terbang atau mengehadkan penggunaan ruang udara. 

“Letusan gunung berapi di Iceland semakin kuat dan gumpalan awan debu yang baru sedang merebak ke selatan dan timur menuju ke Britain,” kata Perkhidmatan Trafik Udara Britain dalam satu kenyataan. – Reuters

No comments:

Post a Comment