Permohonan secara ex parte (sebelah pihak) itu difailkan melalui firma guaman, Karpal Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11.30 pagi.
Meng Kee, 34, dalam afidavit sokongannya mendakwa Mohamed Nazri mengeluarkan kenyataan terhadap pakar patologi dari Thailand itu di media elektronik termasuk Malaysiakini pada 11 April lalu dengan berkata: She is a liar. She lied in the inquest.
Mohamed Nazri berkata demikian ketika mengulas pendedahan Pornthip bahawa beliau terpaksa menarik diri daripada menghadiri perbicaraan inkues menyiasat kematian Beng Hock kerana mendakwa terdapat 'gangguan politik' daripada kerajaan Malaysia.
Selain menuduh Pornthip menipu selepas bersumpah, Meng Kee mendakwa, kenyataan itu merupakan satu kesimpulan atau andaian awal ke atas isu yang akan dan sepatutnya hanya diputuskan oleh koroner.
Dia juga mendakwa kenyataan Mohamed Nazri itu mempunyai kecenderungan untuk menganggu atau campur tangan dalam pentadbiran keadilan dan mengakibatkan penghinaan yang serius ke atas mahkamah.
Sehubungan itu, Meng Kee memohon perintah mahkamah mengikut Jadual Ketiga, Perkara 26 Akta Mahkamah-Mahkamah Rendah 1948 agar Mohamed Nazri dipenjara kerana telah menghina mahkamah.
Dalam permohonan itu, dia turut mendakwa mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian kerana berperanan memastikan inkues kematian adiknya dijalankan dengan sempurna mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan.
Pornthip yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor semasa memberi keterangan sebelum ini berpendapat 80 peratus kemungkinan Beng Hock mati akibat dibunuh berikutan beberapa kesan kecederaan pada badannya.
Beliau dijadualkan memberi keterangan sekali lagi berhubung bedah siasat kedua ke atas mayat Beng Hock pada 20 April ini.
Beng Hock yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.
Sementara itu, Karpal ketika ditemui pemberita memberitahu, permohonan notis usul itu akan didengar pada Selasa ini di Mahkamah Koroner di sini.
Permohonan untuk menangguhkan keterangan Pornthip berikutan masalah keselamatan yang difailkan oleh Kerajaan Negeri Selangor semalam juga akan didengar pada hari yang sama
No comments:
Post a Comment