Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

7 penumpang cedera bas ekspres terbabas



17/04/2010 4:56pm

KULAIJAYA 17 April - Seorang penumpang patah tulang rusuk manakala enam yang lain cedera ringan apabila sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke ibu negara terbabas di KM32 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berhampiran hentian sebelah Kulaijaya itu berlaku pada kira-kira pukul 3.30 pagi.
"Bas ekspres berkenaan membawa 14 penumpang berserta dua pemandu. Hanya tujuh yang cedera manakala penumpang lain serta pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Zulkefly berkata, daripada hasil siasatan, polis percaya pemandu bas ekspres itu mengantuk menyebabkan bas tersebut terbabas sebelum terbalik di bahu kiri jalan.
Beliau berkata, bas ekspres tersebut sepatutnya bertolak dari Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Baharu pada pukul 12.30 malam tetapi lewat dua jam berikutan jadual perjalanannya tergendala.
Katanya, kesemua yang cedera, enam lelaki dan seorang wanita, yang berumur 20 hingga 40 tahun itu kini dirawat di Hospital Kulaijaya manakala bas berkenaan dibawa ke Balai Polis Air Bemban, di sini, untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis sudah merekodkan keterangan pemandu bas berumur 40 tahun terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

No comments:

Post a Comment