Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

39 saman terhadap pemandu kenderaan berat



JASIN 16 April - Hanya didorong untuk mengaut komisen, ada pemandu kenderaan perdagangan sanggup membahayakan nyawa sendiri dan orang lain dengan memecut di lebuh raya.
Buktinya, sebanyak 39 saman dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan oleh Trafik Bukit Aman ke atas pemandu bas ekspres dan lori malam tadi.
Operasi selama empat jam bermula pukul 9 malam itu diadakan di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban di sini, membabitkan 50 anggota dan pegawai.
Pengawai Turus Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supritendan Hamzah Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 24 saman dikeluarkan terhadap pemandu bas ekspres manakala selebihnya pemandu lori dan treler.
Katanya, polis telah menempatkan kamera pengesan had laju di empat lokasi strategik di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dari Johor menghala ke utara.
"Kesemua pesalah lalu lintas itu ditahan di R&R Bemban arah utara bagi dikenakan tindakan saman.
"Had laju tertinggi dikesan adalah 108 kilometer sejam (km/h) berbanding kadar ditetapkan iaitu 90km/h," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Siasatan pihaknya mendapati kebanyakan pemandu melakukan kesalahan itu kerana ingin mengejar komisen yang tinggi.
Beliau yang kesal dengan keadaan itu berkata, seharusnya pemandu terbabit tidak mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya perlu mengutamakan keselamatan.
"Kita semua maklum memandu laju mengundang risiko kemalangan," katanya sambil memberitahu mereka yang melakukan kesalahan itu dikenakan kompaun maksimum RM300.
Beliau menambah, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada pemandu kenderaan perdagangan.

No comments:

Post a Comment