Search This Blog

Saturday, April 17, 2010

2 pengarah Steven's Tea Garden didenda



KUALA LUMPUR 16 April - "Kamu mungkin boleh pegang jawatan pengarah untuk 10 syarikat tapi kamu jangan jadi pengarah atas nama sahaja. (Jadi pengarah) banyak tanggungjawab, kamu kena tahu Akta Syarikat.
"Kena pastikan minit mesyuarat, bermesyuarat setahun sekali dan audit kewangan. Pengetahuan itu perlu ada, jangan mudah percaya orang lain kalau mereka kata tidak payah buat apa-apa."
Demikian nasihat seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pengarah syarikat perniagaan restoran, Steven's Tea Garden Corp. Sdn. Bhd., Yap Yee Teng, 39, dan Ng Yau Meng, 35, yang mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.
Hakim Rozana Ali Yusoff yang menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM3,700 bagi setiap tertuduh menegaskan, tanpa sebarang pengetahuan, seseorang pengarah itu tidak akan tahu tugas dan tanggungjawab mereka.
"Menjadi pengarah syarikat adalah satu tugas yang berat dan saya harap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada kamu," katanya.
Yee Teng dan Yau Meng yang didakwa secara berasingan mengaku salah atas ketiga-tiga tuduhan yang dilakukan di pejabat syarikat di alamat No.307, Tingkat 1, Jalan Mahkota, Taman Maluri, Cheras di sini.
Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa gagal membentangkan Penyata Untung Rugi syarikat yang pertama dalam mesyuarat agung tahunan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh syarikat itu diperbadankan pada 1 April 2008.
Mereka juga didakwa gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan yang pertama dalam tempoh yang sama dan gagal menyerah simpan Penyata Tahunan yang pertama dalam tempoh sebulan dari tarikh mesyuarat itu sepatutnya diadakan.
Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa di bawah Seksyen 169(1) Akta Syarikat 1965 manakala bagi tuduhan kedua dan ketiga mereka didakwa mengikut Seksyen 143(1) dan Seksyen 165(4) masing-masing dibaca bersama Seksyen 370 akta tersebut.
Setiap pertuduhan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 171(1), Seksyen 143(4)(a) dan Seksyen 165(7) akta yang sama.
Yee Teng dan Yau Meng masing-masing didenda RM3,000 bagi tuduhan pertama dan denda RM500 serta RM200 bagi dua tuduhan lain.
Terdahulu, Yee Teng ketika merayu hukuman diringankan menyatakan, dia kini tidak bekerja setelah syarikat itu ditutup kerana disita oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
"Disebabkan reputasi tersebut, saya kini sukar mendapat pekerjaan. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini pada masa hadapan," kata duda seorang anak itu sambil menitiskan air mata.
Yau Meng pula memohon jumlah denda dikurangkan kerana dia kini bekerja dengan bapanya dengan gaji RM2,000 sebulan.
Sementara itu, Rozana turut menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan semula dua pertuduhan terhadap Steven's Tea Garden setelah Yee Teng yang mewakili syarikat itu mengaku tidak bersalah.
Bagi dua pertuduhan tersebut, syarikat itu didakwa gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh diperbadankan dan gagal menyerah simpan Penyata Tahunan dalam tempoh sebulan dari tempoh mesyuarat itu sepatutnya diadakan.
Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, kedua-dua mereka menghadapi tiga tuduhan hampir sama bagi sebuah lagi syarikat iaitu Semangat Teknologi Gagah Sdn. Bhd. di alamat yang sama.
Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Hakim S. M. Komathy Suppiah menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula setelah Yee Teng dan Yau Meng selaku pengarah syarikat itu menyatakan mereka akan mengemukakan surat representasi kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pendakwaan dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa daripada SSM, Mohamad Azies Han Mohd. Fadzil dan Faizah Ahmad.

No comments:

Post a Comment