Search This Blog

Thursday, March 18, 2010

Wartawan hiburan sepakat buat laporan polis



WARTAWAN-wartawan hiburan dan jurugambar membuat laporan polis berikutan sebuah laman facebook yang mengutuk dan menghina pihak media bertajuk, All Entertainment Reporters In Malaysia Sucks di IPD Brickfields, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Mac - Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) serta 11 wartawan hiburan daripada pelbagai media hari ini membuat dua laporan polis terhadap satu akaun laman sosial, Facebook, yang dianggap menghina golongan itu.
Presidennya, Fauziah Raof (gambar)berkata, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Travers pada pukul 2 petang manakala wartawan dan jurugambar itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, pada pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, tindakan tersebut dibuat bagi meminta pihak berkuasa menyiasat akaun laman sosial berkenaan yang bertajuk 'Semua Wartawan Hiburan Malaysia Teruk'.
Tambahnya, pihak persatuan juga tidak akan teragak-agak untuk mengheret ke mahkamah jika individu tersebut meneruskan aktivitinya.
"Persatuan tidak menolak kemungkinan akaun tersebut diwujudkan oleh artis sendiri yang tidak berpuas hati dengan wartawan hiburan tempatan.
"Ini kerana kita berpendapat hanya artis sahaja mengenali wartawan hiburan tempatan," katanya pada sidang akhbar di sebuah restoran di Bangsar, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan tindakan itu bukanlah bermakna wartawan hiburan cepat melenting tetapi perbuatan tersebut dianggap melampau.
"Selama ini pun perbuatan menghina wartawan pernah berlaku tetapi kami mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.
"Tetapi komen-komen yang dilontarkan dalam laman itu bersifat peribadi dan boleh menjatuhkan maruah wartawan," jelasnya.
Dalam akaun laman sosial itu, beberapa wartawan hiburan tanah air telah dihina dan dicerca secara teruk dengan menggunakan perkataan yang kesat.
Wartawan Melodi yang turut disiarkan gambarnya, Zamzuri Ayau Zaini berkata, gambar mereka dicuri oleh pengendali laman tersebut dan dijadikan sebagai bahan gurauan untuk peminat laman sosial itu.
"Apabila kami mendapat tahu perkara tersebut Isnin lalu, beberapa wartawan yang dihina di dalam laman itu sepakat untuk membuat laporan polis.
"Kami amat kecewa dan malu sekali apabila gambar kami dijadikan bahan gurauan dan ejekan oleh pengendali laman tidak bertanggungjawab itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfileds di sini hari ini.
Sementara itu, wartawan hiburan Diva@1, Siti Nor Hafiza Kamarudin berkata, sebanyak 15 keping gambarnya dicuri oleh pengendali laman tersebut untuk tujuan tidak bermoral tersebut.
"Saya mengharapkan polis boleh mengeluarkan arahan agar laman tersebut disekat secepat mungkin.
"Saya rasa pengendali tersebut berbuat demikian semata-mata untuk menjatuhkan nama, maruah dan reputasi wartawan hiburan," katanya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi hari ini mengesahkan telah menerima laporan tersebut.

No comments:

Post a Comment