Search This Blog

Friday, March 19, 2010

Wanita hamil dituduh bunuh ibu saudara

ZURIANA Ismail yang mengandung tujuh bulan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Tumpat, semalam, selepas menghadapi tuduhan membunuh ibu saudaranya.

TUMPAT 18 Mac - "Sampaikan salam dan minta dia (suami) tunggu saya. Itu pesan seorang wanita hamil tujuh bulan kepada sepupunya selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu saudaranya awal bulan ini.

Pesanan itu disampaikan oleh Zuriana Ismail, 26, ketika dalam van polis sebelum dibawa ke penjara selepas mendapati suami dan dua anaknya yang berusia lapan serta empat tahun tidak kelihatan di mahkamah di saat-saat dia menghadapi pertuduhan tersebut.

Hanya sepupu tertuduh yang enggan dikenali itu hadir untuk mendengar sebutan kes berkenaan.

Ibu muda itu yang dijangka melahirkan anak ketiganya pada 30 April ini kelihatan tenang ketika dihadapkan ke mahkamah.

Dia yang memakai tudung coklat dan pakaian penjara berwarna oren dilihat mengangguk tanda faham bila tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Mengikut kertas pertuduhan, Zuriana dituduh membunuh Siti Bidah Ismail, 56, antara kira-kira pukul 12.01 tengah malam dan 5.30 pagi, 4 Mac lalu di Taman Harmoni, Kampung Berangan di sini.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob memohon tarikh sebutan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia daripada pihak hospital.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Mac lepas, Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita yang merupakan ibu tunggal ditemui mati dipercayai dibunuh dengan menggunakan senjata tumpul selepas disamun di rumahnya di Taman Harmoni, Kampung Berangan dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di belakang kepala setelah dipukul dengan senjata tumpul.

No comments:

Post a Comment