Search This Blog

Thursday, March 4, 2010

UPP rampas pakaian berjenama tiruan


PADANG BESAR 3 Mac - Tindakan seorang lelaki menyeludup pakaian berjenama tiruan dari negara jiran mengundang padah apabila dia ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri ini semalam.
Suspek berasal dari Melaka dan berusia 37 tahun itu ditahan di Jalan Kampung Sena di sini setelah dikesan UPP dalam keadaan mencurigakan.
Difahamkan sebelum ini, suspek mendapatkan pakaian itu melalui kurier namun kali ini berhasrat mengambil sendiri menggunakan kereta.
Komander UPP, Deputi Supritendan Zakaria Abd. Rahman berkata, ketika ditahan kira-kira pukul 6 petang, suspek memandu kereta Proton Wira bernombor pendaftaran Melaka.
"Suspek berhenti apabila diarahkan. Hasil pemeriksaan, 437 helai pakaian berjenama tiruan ditemui tersorok dalam but dan bahagian belakang tempat duduk penumpang," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata, pakaian dirampas terdiri daripada 77 helai seluar pendek jenama Adidas dan Nike, 360 helai baju T jenama Adidas, Nike, Umbro, Reebok, Kappa dan Puma yang kesemuanya bernilai RM7,424.
"Permintaan yang tinggi terhadap pakaian itu menyebabkan dia sanggup datang mendapatkan sendiri pakaian tersebut," katanya lagi.
Menurut Zakaria, kebanyakan pakaian itu yang dibeli dengan harga kira-kira RM25 akan dijual semula di negeri berkenaan dengan harga RM60.
Kata beliau, suspek yang ditahan diserahkan kepada pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, suspek ditahan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000.

No comments:

Post a Comment