Search This Blog

Saturday, March 6, 2010

Taktik baru samun kenderaan


KUALA LUMPUR 5 Mac - Sindiket pecah kenderaan yang kini aktif di kawasan Flat Sri Pahang di sini dikesan menggunakan taktik baru bagi memperdayakan orang ramai.
Selepas salah seorang daripada ahli kumpulan itu memecahkan cermin kenderaan penduduk, dia akan menarik perhatian orang ramai supaya dikejar, dan ketika itulah rakannya yang lain akan mencuri barangan berharga dari dalam kenderaan itu.
Bagaimanapun, taktik itu yang didalangi empat lelaki berusia lingkungan 20-an terbongkar apabila salah seorang daripada mereka ditahan di tempat letak kereta flat berkenaan, awal pagi ini.
Suspek diberkas kira-kira pukul 2.30 pagi ketika cuba mencuri barangan berharga di dalam sebuah kereta yang dipecahkan sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid berkata, suspek mengaku melakukan jenayah terbabit dengan dibantu tiga lari rakannya.
"Modus operandi kumpulan itu ialah seorang daripada mereka akan memecahkan cermin kenderaan sehingga didengari mangsa atau orang ramai yang kemudiannya akan mengejar suspek.
"Kesempatan itu kemudian digunakan oleh seorang lagi suspek untuk mencuri barangan berharga di dalam kenderaan tersebut.
"Dua lagi suspek akan berada tidak jauh dari lokasi kejadian untuk memantau keadaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.
Menurut Wan Abdul Bari, ketika ditahan, suspek dipercayai belum sempat mencuri barang di dalam kenderaan tersebut bagaimanapun tiga lagi rakannya dapat meloloskan diri.
Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam 10 kes pecah kereta di sekitar Bangsar.
Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan usaha mengesan tiga lagi rakannya yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Dalam perkembangan lain, polis berjaya memberkas 10 lelaki yang dipercayai sedang berjudi selain merampas 53 unit komputer bernilai RM106,000 yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Brickfields baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment