Search This Blog

Thursday, March 4, 2010

Suspek bunuh Syafiah dijangka didakwa bila-bila masa


KUALA LUMPUR 3 Mac - Teman lelaki kepada ibu Syafiah Humairah Sahari yang merupakan suspek utama kes penderaan hingga membawa kematian kanak-kanak malang berusia tiga tahun itu akan didakwa dalam masa terdekat ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, polis hampir selesai merekodkan keterangan saksi-saksi termasuk ibu mangsa dan penduduk kampung.
"Maklumat yang diberikan oleh saksi-saksi terbabit telah banyak membantu dalam siasatan. Kita yakin suspek boleh didakwa pada bila-bila masa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini hari ini.
Polis telah mengambil keterangan dari ibu kanak-kanak itu, Siti Norhanim Aziz, 25, di balai polis berhampiran rumahnya di Sungai Plong, Selangor, Isnin lalu.
Syafiah Humairah meninggal dunia Khamis lalu selepas dilaporkan didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.
Berikutan itu, teman lelaki Siti Norhanim yang berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok.

No comments:

Post a Comment