Search This Blog

Tuesday, March 9, 2010

Siasatan kes kanak-kanak mati didera selesai


KUALA LUMPUR 8 Mac - Siasatan polis berhubung kematian kanak-kanak malang, Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, 3, yang menjadi mangsa penderaan kejam pada penghujung bulan lalu sudah selesai dijalankan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, kertas siasatan kes itu telah lengkap dan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut esok.
"Kita akan serah (kertas siasatan) itu kepada DPP esok untuk ditentukan sama ada untuk mendakwa suspek atau tidak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berikutan itu, suspek utama iaitu teman lelaki kepada ibu Syafiah, mungkin akan didakwa bila-bila masa mulai esok.
Suspek yang berusia 28 tahun sebelum ini direman sejak 26 Februari lalu bagi membantu siasatan kes.
Dia yang bekerja sebagai pemandu teksi itu merupakan satu-satunya suspek dalam kes ini setelah tiada tangkapan lain dibuat.
Sebelum ini, polis juga telah mengambil keterangan saksi-saksi termasuk ibu mangsa, Siti Norhanim Aziz, 25, serta penduduk kampung.
Pada 27 Februari lalu, media menyiarkan kisah menyayat hati Syafiah Humairah yang menjadi mangsa dera, meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat.
Kejadian berlaku di padang bola Taman Batu 30, Batang Kali kira-kira pukul 6 petang pada 25 Februari lalu.
Pada mulanya, suspek yang menghantar Syafiah Humairah ke hospital, memaklumkan kononnya mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera. Suspek ditahan beberapa jam selepas itu.
Mangsa juga dipercayai mengalami penderaan berterusan selama ini, berdasarkan hasil bedah siasat yang menunjukkan terdapat kesan kecederaan lampau pada tubuhnya.

No comments:

Post a Comment