Search This Blog

Thursday, March 18, 2010

Siasat kes kahwin bawah umur





KUALA LUMPUR 17 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah mengarahkan Polis Kelantan untuk menjalankan siasatan terhadap kes perkahwinan membabitkan dua kanak-kanak bawah umur di negeri itu, baru-baru ini.
Katanya, pihaknya akan melakukan 'siasatan terus' berdasarkan laporan media ekoran tiada laporan polis dibuat berhubung perkahwinan tersebut setakat ini.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian adalah sekiranya wujud elemen paksaan atau penipuan di dalam perkahwinan tersebut.
"Saya telah mengarahkan Datuk Abdul Rahim Hanafi (Ketua Polis Kelantan) untuk mengambil keterangan individu yang terlibat.
"Ini termasuk ibu bapa Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, saudara-maranya serta isteri-isteri lelaki itu (Shamsuddin Ajaib) untuk dirakam percakapan.
"Kita juga akan mendapatkan Siti Nur Zubaidah. Jika wujud elemen paksaan atau penipuan (dalam perkahwinan), polis akan buka kertas siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menggesa pejabat Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menyiasat kes perkahwinan tersebut.
Siti Nur Zubaidah sebelum ini dikatakan telah dikahwinkan secara paksa dengan seorang lelaki, Shamsuddin Che Derahman, 41, atau dikenali sebagai Shamsudin Ajaib.
Shamsudin Ajaib juga dikatakan telah mengatur perkahwinan anak perempuannya yang berusia 10 tahun dengan rakannya dikenali sebagai Azhar pada 19 Februari lalu.
Jelas Musa, sebaliknya sekiranya perkahwinan tersebut dilakukan secara sukarela, kes itu akan dirujuk ke Mahkamah Syariah.
"Pihak polis perlu meneliti terlebih punca sebenar perkahwinan itu sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil," katanya.

No comments:

Post a Comment