Search This Blog

Thursday, March 4, 2010

Sembunyi di pulau semalaman elak dikesan pencuri




HARDI Mohd. Hadir menunjukkan tempat pencuri menyelam dan mahu mencuri enjin bot yang dinaikinya di Tasik Banding, kelmarin.



GERIK 3 Mac - Akibat terlalu takut dicederakan penyamun bersenjatakan parang, seorang lelaki nekad bersembunyi dalam bot di sebuah pulau di Tasik Banding, semalaman, bagi menyelamatkan diri.
Hardi Mohd. Hadir, 35, yang berasal dari Lahad Datu, Sabah, memberitahu, dalam tempoh tersebut, dia hanya mengalas perut dengan minum air tasik.
"Saya berada di dalam bot kira-kira 24 jam iaitu dari pukul 6.30 pagi Isnin (kelmarin) hingga pukul 9 pagi tadi (semalam).
"Selama bersembunyi dalam bot di Pulau Besar, saya hanya minum air tasik saja,'' katanya ketika ditemui di sini lewat petang semalam.
Menurut pekerja di sebuah calet di sini, dia menyedari sesuatu apabila mendengar bunyi air di sekitar rumah rakit.
"Waktu itu kira-kira pukul 6 pagi, saya bangun daripada tidur dan terus menyuluh di kawasan tasik (Banding) berhampiran calet dan kedai runcit.
"Tiba-tiba saya ternampak seorang lelaki di belakang tempat menyimpan beberapa bot.
"Saya menjerit dan bertanya apa yang dikehendakinya, tetapi tidak dijawab. Saya lalu menghidupkan enjin bot dan mengemudi ke arah suspek," ujarnya.
Katanya, suspek yang menghilangkan diri tiba-tiba muncul dan berpaut pada bot dipandunya sambil sebelah tangannya memegang sebilah parang.
"Bimbang mungkin suspek akan melompat naik ke dalam bot dan cuba melibas dengan parang, Hardi membuat pusingan.
"Namun usaha itu gagal... Saya terus memecut bot ke tengah Tasik Banding sehingga ke Pulau Besar," jelas Hardi lagi.
Hardi terpaksa memecut botnya ke tengah Tasik Banding dan bersembunyi di pulau berdekatan itu kerana khuatir dengan keselamatan dirinya.
Menurutnya, berdasarkan kes-kes kecurian yang berlaku sebelum ini, dia percaya suspek lebih daripada dua orang.
"Saya bersyukur kerana tidak tercedera dalam kejadian itu dan berharap polis kerap memantau kawasan di sekitar calet dan tasik," katanya.
Hardi berkata, sepanjang pengalamannya bekerja di calet terbabit sejak 1998, dia mengesyaki suspek adalah kumpulan pencuri yang sama.
Sementara itu, pemilik calet, Mohamad Shah Mohd. Isa, 60, berkata, kejadian tersebut bukan yang pertama kali berlaku.
"Sehingga kini, banyak barangan saya dicuri termasuk enam buah enjin bot yang berharga RM6,000 setiap satu selain terbaru bulan lepas, berharga RM10,000.
"Lima bulan lepas, wang sebanyak RM6,000 di kedai runcit saya di Tasik Banding turut hilang selepas kedai dipecahkan.
"Kesemua kes yang berlaku sehingga kini belum dapat ditangkap dan saya berharap polis dapat mengesan penjenayah terbabit kerana saya telah kerugian hampir RM100,000 sehingga kini," katanya.
Menurut Mohamad Shah, dia telah membuat laporan polis tentang kejadian terbaru itu di Balai Polis Bersia pada pukul 8 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment