Search This Blog

Friday, March 19, 2010

Rumah terbakar, budak maut


PADANG BESAR 18 Mac - Jeritannya dapat didengar ahli keluarganya yang lain. Namun ketika pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya, kanak-kanak malang yang baru berusia tiga tahun itu menemui ajal setelah terperangkap dalam bilik yang terbakar.
Dalam kejadian di Kampung Bukit Keteri, Jalan Stesen Keretapi itu, Nor Shamimi Mohd. Shahril Ani (gambar), maut dan mayatnya ditemui tidak lama selepas api berjaya dipadamkan.
Nor Shamimi tidak dapat diselamatkan oleh ahli keluarganya kerana api marak terlalu cepat dalam kebakaran kira-kira pukul 11.15 malam tadi yang puncanya masih belum diketahui.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros memberitahu, datuk mangsa, Ghazali Ismail, 49, dan neneknya, Saripah Kassim, 53, cedera ringan ketika cuba menyelamatkan cucu sulung mereka itu.
"Ketika kejadian, bapa kanak-kanak tersebut, Mohd. Shahril Ani Amin, 30, yang baru pulang dari tempat kerja berada di dapur untuk makan malam bersama isterinya, Suzana Ghazali, 27.
"Mereka kemudian dikejutkan dengan bunyi bising. Api marak terlalu cepat sehingga kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan. Mayat Nor Shamimi dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk bedah siasat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kebakaran itu hanya melibatkan bilik tidur mangsa.
Ditanya mengenai punca kebakaran, beliau berkata, ia masih dalam siasatan dan pihaknya percaya ia tidak mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat.

No comments:

Post a Comment