Search This Blog

Monday, March 22, 2010

Reman suspek tikam rakan dilanjutkan



ALOR SETAR 21 Mac - Tempoh tahanan reman terhadap seorang wanita yang disyaki terlibat dalam pembunuhan rakan wanitanya di Taman Kristal di sini pada 4 Mac lalu dilanjutkan selama tujuh hari lagi mulai hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, tempoh reman itu yang sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan sehingga 28 Mac depan bagi membolehkan polis menyiasat penglibatan suspek dalam kes tersebut.
"Suspek sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari sebaik sahaja dia dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah pada 14 Mac lalu.
"Banyak lagi perkara perlu disiasat dan atas sebab itu, kita perlu melanjutkan tempoh reman terhadap wanita tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam di Taman Kristal itu, Suhana Mohd. Shariff, 26, meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian badan termasuk perut dan dada.
Sejurus selepas kejadian itu, suspek dipercayai turut mengelar tangan kiri dan menikam dadanya sendiri sehingga koma dan terpaksa dirawat di hospital.
Dua rakan karib itu yang bekerja di sebuah kedai alat tulis dipercayai bergaduh dalam kereta milik mangsa kerana terdapat kesan darah ditemui di tempat duduk pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.

No comments:

Post a Comment