Search This Blog

Thursday, March 4, 2010

Rakyat Malaysia bunuh pakar bedah Australia pulang ke tanah air

SEPANG 3 Mac – Seorang rakyat Malaysia yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 18 tahun di Melbourne kerana disabit membunuh pakar bedah jantung dari Sydney, Dr. Victor Chang, selamat tiba di tanah air, malam ini.Pesawat yang dinaiki Phillip Lim Choon Tee, 50, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.04 malam.
Beberapa penumpang yang menaiki pesawat yang sama dengan Phillip Lim ketika ditemui di sini hari ini berkata, bekas banduan itu duduk di tempat duduk paling terakhir di kelas ekonomi.
Menurut mereka, lelaki yang berbaju T biru tua itu tidak digari dan kelihatan gembira sepanjang perjalanan ke Malaysia.
Juga difahamkan dua pegawai Jabatan Imigresen Australia dan beberapa anggota polis menemaninya kerana dia tidak memiliki pasport antarabangsa.
Sejurus tiba di KLIA, beberapa pegawai polis Malaysia merakam percakapan Philip Lim di sebuah bilik tertutup kira-kira dua jam.
Puluhan wartawan dan jurugambar yang berkampung di lapangan terbang itu sejak pukul 7 malam untuk merakam gambar serta menemuramah bekas banduan itu selepas menjalani hukuman penjara selama 18 tahun bagaimanapun kecewa apabila dikatakan dia keluar melalui laluan kakitangan, kira-kira pukul 11.15 malam.
Phlllip Lim bersama seorang lagi rakannya yang juga seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara maksimum, masing-masing 24 dan 26 tahun atas kesalahan membunuh pakar bedah jantung itu.
Doktor pakar itu ditembak mati di kaki lima di pinggir bandar Mosman yang terletak di utara Sydney pada 4 Julai, 1991 selepas cubaan Phillip Lim dan rakannya, Liew Chew Seng untuk memeras ugutnya gagal.
Menurut laporan Australian Associated Press, Phillip Lim dijadual dibebaskan pada 11 November tahun lepas tetapi lembaga parol membatalkan keputusannya itu sembilan hari kemudian dan sejak itu dia kekal menjadi orang tahanan.

No comments:

Post a Comment