Search This Blog

Thursday, March 4, 2010

Permohonan Anwar batal saman Musa Hassan 11 Mei


KUALA LUMPUR 3 Mac - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman fitnah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadapnya berhubung siasatan insiden 'mata lebam' 1998 akan didengar pada 11 Mei ini.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes itu di kamar beliau di sini.
Pada prosiding hari ini, Musa diwakili oleh peguam Lim Kon Keen manakala Sankara Nair mewakili Anwar.
Nair ketika dihubungi memberitahu, permohonan tersebut akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Prasad Sandosham Abraham.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut pada bulan lalu.
Musa memfailkan saman fitnah pada 21 Julai 2008 berhubung laporan polis yang dibuat oleh Anwar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 1 Julai tahun sama yang didakwa mengandungi pernyataan berbaur fitnah.
Ketua Pembangkang itu dalam laporan polisnya mendakwa Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta mengenai serangan fizikal yang dialaminya semasa menjadi tahanan polis pada 1998.
Musa dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, laporan polis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mendakwa dirinya dan Abdul Gani telah menyembunyikan fakta mengenai serangan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor terhadap Anwar.
Selain itu, perkataan-perkataan fitnah yang digunakan dalam laporan tersebut membawa maksud beliau telah melakukan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan kuasa dengan mereka-reka keterangan.
Anwar selaku defendan turut didakwa membuat dan menerbitkan laporan polis itu untuk mengalihkan pandangan dan fokus masyarakat umum daripada aduan liwat oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Oleh itu, Musa mendakwa defendan telah bertindak dengan niat jahat untuk merosakkan, memburuk dan mengaibkannya serta reputasi peribadi dan profesional beliau.
Plaintif mendakwa, beliau melalui peguam caranya telah menghantar surat tuntutan pada 11 Julai 2008 supaya defendan menarik balik perkataan fitnah dan tohmahan itu serta membuat permohonan maaf, jika tidak akan dikenakan tuntutan ganti rugi RM5 juta.
Anwar bagaimanapun tidak mengendahkan surat tuntutan tersebut dan terus menerbit atau menyebabkan fitnah itu diterbitkan di laman web dan laman blog.
Musa menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, kos, lain-lain relif dan faedah lapan peratus setahun ke atas penghakiman mulai tarikh penerbitan fitnah dan tohmahan lisan berkenaan.
Jumlah ganti rugi yang dituntut bagaimanapun tidak dinyatakan.
Ketua Polis Negara itu juga menuntut perintah injunksi menghalang Anwar, melalui ejen atau petugasnya, dalam apa cara sekalipun daripada terus menerbit atau mengakibatkan penerbitan perkataan fitnah dan tohmahan lisan itu atau yang berkaitan dengannya.
Ketua Pembangkang itu dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 24 Oktober 2008 menyatakan, laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan dan kewajaran.

No comments:

Post a Comment