Search This Blog

Tuesday, March 9, 2010

Penyelesaian gagal, bicara kes mutaah RM5 juta Mei ini


KUALA LUMPUR 8 Mac - Perbicaraan tuntutan mutaah RM5 juta oleh bekas isteri Datuk Kadar Shah Sulaiman di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditetapkan pada 6 Mei ini selepas usaha penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.
Hakim Syarie, Mohd. Shukor Sabudin menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima dan membalas jawapan tuntutan terma-terma perjanjian oleh Kadar Shah selaku defendan.
Menurutnya, dalam perjanjian tersebut, terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Katanya, Fauziah Haron selaku plaintif menyatakan beliau mendapat respons yang negatif daripada Kadar Shah berkenaan terma perjanjian tersebut.
Sementara itu, peguam syarie, Sulaiman Abdullah yang mewakili Kadar Shah memberitahu, dia dan anak guamnya masih berbincang dan akan mempertimbangkan hal tersebut.
Mohd. Shukor kemudian mengarahkan perbicaraan diteruskan terhadap terma-terma yang tidak dipersetujui sahaja memandangkan tempoh perbincangan secara baik yang diberikan sudah terlalu lama.
Kedua-dua pihak tidak membantah.
Menurut Sulaiman, Kadar Shah, 63, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Muar tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana berada di Indonesia atas urusan perniagaan.
Fauziah, 54, dalam permohonannya menuntut mutaah, wang idah RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000.
Antara tuntutan lain termasuk hutang defendan dengannya sebanyak RM250,000 iaitu bayaran kereta yang dijanjikan mahu diselesaikan oleh bekas suaminya itu dan unit saham bernilai RM1.5 juta.
Fauziah yang merupakan bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysia pada 1975 juga menuntut harta sepencarian mereka termasuk kondominium di Genting Highlands, kediaman di Bukit Jelutong, apartmen di Hawaii dan Los Angeles selain tiga kereta mewah.
Pasangan yang berkahwin pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia itu dikurniakan tiga cahaya mata.

No comments:

Post a Comment