Search This Blog

Tuesday, March 23, 2010

Penjaga stor ke tali gantung


SHAH ALAM 22 Mac - Seorang penjaga stor cuba menutup perbuatan jenayah dengan berpura-pura dipaksa minum racun selepas teman wanitanya dikatakan melakukan perkara yang sama seminggu selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu.
Shahrul Nizam Mohd. Shah, 38, bagaimanapun 'terselamat' sementara Nurul Hazira Bharum, 26, yang juga penjaga stor meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Kisah merpati dua sejoli cuba membunuh diri bak kisah Romeo dan Juliet itu bagaimanapun terbongkar apabila hasil bedah siasat mendapati sebenarnya Nurul Hazira mati kerana lemas akibat dicekik menggunakan sehelai tudung.
Perbuatan Shahrul Nizam itu yang dilakukan kerana cemburu apabila mengetahui mangsa akan berkahwin dengan orang lain akhirnya membawa padah apabila dia hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan tertuduh hanya keterangan tokok tambah serta gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes tersebut.
Katanya, selain tiada kesan racun dijumpai dalam tubuh mangsa, tekanan kuat yang digunakan untuk mencekik adalah konsisten dengan penemuan rantai emas putus di dalam baju mangsa.
''Tiada keterangan yang menunjukkan mangsa sebelum kejadian hendak membunuh diri dan semua saksi seperti ibu bapa, rakan sekerja dan tunang mangsa tidak menyatakan sedemikian. Kedudukan mangsa yang baring tidak konsisten dengan perbuatan minum racun sendiri.
''Keterangan jiran tertuduh bahawa tertuduh datang ke rumahnya dan minta bantuan dengan memberitahu bahawa 'orang rumahnya' (mangsa) sudah minum racun tidak konsisten dengan dakwaan tertuduh mengenai rancangan dia dan teman wanitanya ingin membunuh diri,'' katanya.
Shahrul Nizam disabitkan atas tuduhan membunuh Nurul Hazira di rumahnya di Lot 2584-1, Batu 19, Kampung Gombak, Kuang, Rawang antara pukul 9 dan 10 pagi, 7 Oktober 2008.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menampilkan 15 saksi manakala hanya tertuduh memberi keterangan di peringkat pembelaan.

No comments:

Post a Comment