Search This Blog

Thursday, March 4, 2010

Peluang Mantik hidup tipis


SHAH ALAM 3 Mac - Peluang untuk Mantik Hani sembuh dan terus hidup memang tipis berikutan keadaan kesihatan yang teruk semasa pembantu rumah warga Indonesia itu mula dirawat pada 20 Oktober tahun lalu.
Pakar Klinikal Ortopedik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr. Chang Kok Chun berkata, Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk mengesan kecederaan tulang belakang tidak dapat dilakukan kerana keadaan Mantik yang tidak stabil.
''Keadaan kesihatan Mantik amat teruk, kecederaan yang dialami sejak beberapa hari sebelum itu telah dibiarkan tanpa sebarang rawatan.
''Dia juga mungkin tidak diberi air dan makanan. Luka pada kaki kanannya mengalami jangkitan yang teruk dan dia mengalami kekurangan cecair,'' katanya.
Kok Chun, 40, saksi pendakwa ke-49 berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes penjual air tebu, A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Mantik, 36.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 hingga 20 Oktober 2009.
Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober tahun lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.
Menurut pakar bedah tulang itu, rawatan terbaik telah diberikan kepada Mantik apabila keadaan keseluruhan dipantau selain turut merancang untuk melakukan pembedahan sebagai rawatan awal.
Bagaimanapun, jelas beliau, Mantik semakin tenat sehingga terpaksa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 21 Oktober 2009.
Walaupun diberi bantuan pernafasan serta rawatan yang diperlukan, Mantik semakin nazak berikutan peningkatan jumlah sel darah putih dan pembekuan darah sebelum meninggal dunia pada 26 Oktober.
Sementara itu, Pakar Patologi Forensik dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Dr. Jessie Hiu yang turut memberi keterangan hari ini pula memaklumkan lapisan lemak pada urat saraf Mantik hancur berikutan kecederaan pada saraf tunjang.
Beliau yang menganalisis tisu saraf tunjang dan otak Mantik secara mikroskopik berkata, kecederaan itu berlaku antara beberapa hari hingga seminggu berdasarkan radang sel pada saraf tunjang.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa bersambung esok.

No comments:

Post a Comment