Search This Blog

Tuesday, March 9, 2010

Pekerja MPS ditembak depan rumah


KUALA LUMPUR 8 Mac - Seorang pekerja di Unit Perancang Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) maut ditembak oleh dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi ketika mangsa, K. Celladuran, 50, baru keluar dari rumahnya untuk ke pejabat.
Mangsa ketika itu dikatakan sedang menutup pintu pagar rumahnya untuk menaiki motosikal ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dua lelaki bermotosikal tiba-tiba muncul lalu melepaskan tiga das tembakan ke arahnya.
"Tembakan jarak dekat itu menyebabkan dua daripada peluru mengenai rusuk kiri dan dada mangsa.
"Mangsa yang cedera parah berikutan kejadian itu dibawa ke Hospital Selayang oleh jiran dan anaknya sebelum disahkan mati sejurus tiba di sana," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, ketika kedua-dua suspek cuba melarikan diri, mereka dihalang oleh seorang penduduk lelaki.
Bagaimanapun, katanya, penduduk itu terpaksa melepaskan salah seorang suspek setelah dia diacu dengan pistol.
Menurut beliau lagi, motif pembunuhan itu masih disiasat dan polis kini memburu kedua-dua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, anak bongsu mangsa, C. Ranjitha, 16, memberitahu, ketika kejadian, dia dan beberapa ahli keluarganya berada dalam rumah dan terkejut setelah mendengar beberapa das tembakan.
"Sebaik sahaja saya keluar rumah, saya nampak ayah terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Abang saya, Surenthiren yang berada di tingkat atas rumah melompat dari anjung untuk segera mendapatkan ayah.
"Dia kemudian mengangkat ayah dan membawanya ke hospital dengan bantuan jiran," ujarnya.
Mendiang Celladuran meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak berusia antara 16 hingga 21 tahun.

No comments:

Post a Comment