Search This Blog

Saturday, March 6, 2010

Maut bergaduh selepas solat Jumaat


KOTA BHARU 5 Mac - Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam pergaduhan di hadapan Masjid Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Sebelum itu, mangsa, Ruslim Ab. Rahman, 52, sempat bersalaman dan memohon maaf kepada ibunya di rumah mereka pada pagi sebelum kejadian.
Ibunya, Kamariah Ismail, 68, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak sulungnya itu kira-kira pukul 4 petang selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya, Ruzana, 47, yang berada di Kuala Lumpur.
"Pukul 10 pagi tadi, arwah datang jumpa saya sambil memakai baju Melayu dan meminta maaf.
"Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika itu, tapi terkejut selepas diberitahu dia terlibat dalam pergaduhan sehingga mati," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.45 petang ini, Ruslim meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas mengalami kecederaan parah di leher akibat terkena senjata tajam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim memberitahu, mangsa bersama dua rakannya dipercayai menemui salah seorang penduduk selepas selesai solat Jumaat sebelum tercetus pergaduhan.
"Selepas cedera, mangsa dikejarkan ke hospital dengan bantuan rakan-rakannya namun disahkan meninggal dunia sejurus selepas dimasukkan ke hospital.
"Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pekerja hotel berusia 46 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.
Suspek, kata Amir Hamzah, ditahan selepas menerima rawatan di hospital yang sama berikutan kecederaan di kepala. Kata beliau lagi, motif kejadian masih disiasat.

No comments:

Post a Comment