Search This Blog

Saturday, March 6, 2010

Mangsa diperhati tiga bulan



KUALA LUMPUR 5 Mac - Suspek utama kes pembunuhan K. Hareswarral, dipercayai telah 'memerhatikan' mangsa sejak tiga bulan lalu sebelum kanak-kanak malang itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati semalam.
Kelindan lori yang pernah menjadi pengasuh kepada kanak-kanak malang itu selama dua minggu sebelum ini, juga berkelakuan pelik terhadap mangsa.
Malah suspek pernah mencari mendiang di rumah nenek kanak-kanak itu di Seksyen 17, Damansara di sini selain memantau pergerakan mangsa dari luar rumahnya.
Menurut ibunya, K. Thilagawathy, 23, dia menyedari kelakuan mencurigakan suspek dan pernah memberi amaran terhadapnya beberapa kali.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan anaknya sentiasa dalam ketakutan dan akan menyorok di belakangnya apabila terserempak dengan suspek.
"Bagaimanapun kadang-kadang, dia (suspek) dapat juga membawa lari Hareswarral tanpa pengetahuan saya.
"Setiap kali lelaki itu membawanya (Hareswarral) keluar, akan ada kesan-kesan lebam atau calar di badannya.
"Pun begitu, kami tidak berbuat sesuatu kerana menyangka Hareswarral hanya terjatuh," katanya ketika ditemui di Pangsapuri Damansara Bestari di sini hari ini.
Hareswarral yang berusia setahun enam bulan mati dipercayai akibat didera oleh suami pengasuhnya di rumah mereka di Pangsapuri Seri Ara awal pagi semalam.
Kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan parah akibat didera dengan begitu kejam. Enam tulang rusuknya patah, hatinya hancur, selain cedera parah di kepala dan kemaluan, dipercayai akibat dicekak dengan kuat berdasarkan kesan kuku yang ditemui.
Berikutan itu, polis menahan suami penjaga kanak-kanak tersebut yang bekerja sebagai kelindan lori, tengah hari semalam selepas selesai proses bedah siasat.
Menurut Thilagawathy, walaupun anaknya itu masih tidak pandai bercakap, tetapi dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada suspek.
Katanya, di atas faktor tersebut , dia tidak lagi menghantar Hareswarral dan adiknya ke rumah suspek selepas dua minggu mereka di sana.
Menceritakan insiden menimpa Hareswarral, Thilagawathy berkata, pada hari kejadian dia meninggalkan anaknya di rumah rakannya di tingkat 15 di pangsapuri sama kerana terpaksa keluar untuk mencari kerja pada pukul 8.50 malam.
Bagaimanapun Thilagawathy berkata, memandangkan itu kali pertama anaknya ditinggalkan di rumah rakannya itu, dia menelefon isteri suspek supaya turut melihat Hareswarral.
"Apabila menyedari saya tiada di sisi, lelaki itu mengambil kesempatan untuk melarikan anak saya secara paksaan dari rumah Kavitha (rakannya), kononnya untuk membelikan coklat.
"Pada pukul 9.45 malam, apabila saya menelefon isteri suspek untuk menanya khabar Hareswarral, ketika itulah saya dimaklumkan yang anak saya tidak sedarkan diri dan wanita itu mendakwa anak saya sakit," jelasnya.
Lelaki itu pula katanya, berpura-pura menghantar mangsa ke klinik berhampiran seperti tidak mengetahui apa yang berlaku.
"Sampai sekarang saya pun tak tahu apa dendam lelaki ini terhadap anak saya. Apa kesalahan dilakukan anak saya sehingga diperlakukan seperti binatang," katanya sambil mengesat air mata.
Dia juga beberapa kali menegaskan tidak akan memaafkan suspek dan isterinya yang berkelakuan seperti syaitan.
Dalam pada itu, katanya, anak bongsunya berusia empat bulan yang pernah diasuh pasangan terbabit juga akan dibawa ke klinik dalam masa terdekat untuk menjalani pemeriksaan.
Difahamkan suspek yang telah enam tahun mendirikan rumah tangga belum mempunyai cahaya mata.

No comments:

Post a Comment