Search This Blog

Friday, March 19, 2010

Keputusan bebaskan Ramli kekal


KOTA KINABALU 18 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan yang melepas dan membebaskan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff (gambar) daripada tuduhan salah guna kuasa tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian semasa menolak rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah meneliti semua hujah yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen.
''Selepas meneliti hujah-hujah dalam keputusan sebelum ini saya dapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak salah, oleh itu rayuan ditolak,'' katanya dalam penghakimannya.
Pada 27 Julai tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini telah melepas dan membebaskan Ramli setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Ramli, 57, yang memakai suit hitam kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum di luar mahkamah, diwakili peguam James Tsai manakala SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache.
Sebelum ini, dia dituduh menyalahguna kuasanya sebagai Pengarah JSJK Bukit Aman untuk perolehan kewangan dengan mengeluarkan arahan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ Polis Diraja Malaysia untuk membawanya meninjau tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu.
Ramli didakwa memiliki kepentingan dalam syarikat Kinsajaya Sdn. Bhd. yang dikatakan mempunyai pelaburan di tanah berkenaan.
Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 7.50 pagi, 15 Jun 2007 di Pangkalan Unit Udara Polis Tanjung Aru, di sini.
Tuduhan itu adalah yang keempat terhadapnya dengan tiga tuduhan sebelum ini ialah gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.
Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskannya pada Jumaat lalu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie.

No comments:

Post a Comment