Search This Blog

Thursday, March 18, 2010

Kegiatan gay: Polis bidas pihak tertentu



PULAU PINANG 17 Mac - Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob hari ini membidas sikap pihak tertentu yang gagal bertindak sehingga wujudnya kegiatan penawaran khidmat seks bagi golongan gay di negeri ini.
Beliau yang kesal dengan perkara itu berkata, seharusnya pihak terbabit memeriksa semua premis secara berkala dan bukannya bertindak hanya selepas sesuatu operasi polis.
"Polis sudah memainkan peranan mereka, maka pihak lain juga harus berbuat demikian," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai beberapa premis di negeri ini yang didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi golongan gay dengan berselindung di sebalik operasi pusat kesihatan dan kecergasan.
Ayub menegaskan, pihaknya akan terus melakukan pemantauan ke atas lima premis yang didakwa menawarkan perkhidmatan seumpama itu bagi membendung gejala negatif daripada terus berlaku.
Katanya, serbuan yang dilakukan polis di pusat-pusat terbabit mendapat maklum balas baik daripada orang ramai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat memberikan lesen mengikut keperluan sahaja kerana sudah terlalu banyak pusat seumpama itu, malah yang beroperasi tanpa lesen pun ada.
"Dan bagi tujuan jangka panjang pula, cuba wujudkan zon-zon tertentu bagi menempatkan premis-premis begitu di kawasan sama supaya kerja penguatkuasaan dan pemantauan dapat dijalankan dengan lancar," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Rafiah Mohd. Radzi meminta pihak polis menyalurkan maklumat terperinci berhubung masalah itu.
"Kami harap pihak polis dapat memberi cadangan kepada MPPP premis yang mana perlu diambil tindakan, tidak perlu diperbaharui lesen dan sebagainya, kami sentiasa akan memberi kerjasama kepada semua pihak termasuk polis," katanya.

No comments:

Post a Comment