Search This Blog

Thursday, March 4, 2010

Gani, Musa ketepi saman RM100j


KUALA LUMPUR 3 Mac - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail serta tiga akhbar tempatan hari ini berjaya membatalkan saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.
Tiga akhbar tersebut ialah Utusan Malaysia, The Star dan New Straits Times.
Pembatalan saman itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di kamar beliau di sini.
Manoharan yang merupakan penasihat undang-undang Hindraf menyaman Musa dan Abdul Gani kerana didakwa membuat kenyataan mengaitkannya dengan pertubuhan pengganas antarabangsa yang kemudiannya diterbitkan oleh akhbar-akhbar terbabit.
Manoharan yang juga seorang peguam hadir mewakili dirinya sendiri manakala Musa dan Abdul Gani serta Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketiga diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh.
Utusan Melayu (M) Bhd. yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia diwakili peguam, T.K.B. Mohana Kumar manakala Star Publication (M) Sdn. Bhd. (The Star) diwakili peguam, Jamie Wong.
Peguam mewakili The New Straits Times Press (M) Bhd. tidak hadir pada prosiding hari ini.
Menurut Amarjeet yang ditemui selepas prosiding itu, hakim membenarkan permohonan defendan pertama hingga ketiga itu dengan kos atas alasan kenyataan yang dibuat oleh Musa dan Abdul Gani 'berlaku dalam keadaan perlindungan bersyarat'.
Dalam permohonan yang difailkan pada 2 November 2009, defendan pertama hingga ketiga menyatakan bahawa perkataan-perkataan yang digunakan oleh Musa dan Abdul Gani tidak berunsur fitnah serta tidak merujuk kepada Manoharan sebaliknya kepada Hindraf.
Mereka turut menyatakan Hindraf dan Manoharan adalah dua entiti yang berbeza kerana pertubuhan tersebut adalah satu pertubuhan haram.
Sementara itu, Kumara Mohan memberitahu, ekoran keputusan hakim membenarkan defendan pertama hingga ketiga mengetepikan saman itu, beliau memohon agar penghakiman yang sama diberikan kepada kesemua penerbit akhbar.
Katanya, ia adalah berdasarkan alasan bidang kuasa sedia ada mahkamah dan keputusan yang dibuat mengikat kesemua defendan dalam kes itu.
Manoharan yang ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu memfailkan saman fitnah RM100 juta pada 11 September tahun lalu dengan mendakwa Musa dan Abdul Gani secara berniat jahat menggunakan perkataan-perkataan berunsur fitnah untuk diterbitkan dalam tiga akhbar itu.
Manoharan juga mendakwa penahanannya di bawah ISA pada 13 Disember 2007 di Pusat Tahanan Kamunting di Taiping adalah menyalahi undang-undang dan bermotifkan politik.
Beliau dibebaskan pada 9 Mei tahun lalu.

No comments:

Post a Comment