Search This Blog

Tuesday, March 9, 2010

Dua anggota Rela ditahan, heroin RM200,000 dirampas


KUALA TERENGGANU 8 Mac - Tugas Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sepatutnya membanteras jenayah, namun lain pula berlaku di sini, apabila dua anggota pasukan itu terlibat dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini.
Kedua-dua mereka yang juga sepupu berusia 36 dan 40 tahun ditahan pada pukul 12.30 tengah malam dalam serbuan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai di sini, Khamis lalu, hasil maklumat risikan.
Turut ditahan bersama mereka ialah isteri salah seorang suspek berasal dari Narathiwat, Thailand berusia 28 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, ketika ditahan, seorang suspek berada di luar kereta jenis Proton Gen.2 manakala yang lain di dalam kenderaan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemui sebanyak 612 gram heroin No. 4 dengan nilai pasaran RM200,000 yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dan Kelantan.
"Dadah itu diisi di dalam 136 botol plastik lut sinar yang diletakkan di dalam beg hitam di tempat kaki penumpang belakang.
"Rampasan itu adalah yang terbesar di negeri ini sejak 10 tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua anggota Rela dan wanita terbabit kini ditahan reman selama 10 hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan pula diserahkan kepada keluarga mereka semalam.
Roslan berkata, serbuan dilakukan oleh tujuh pegawai dan 16 anggota dari JSJN negeri diketuai oleh Deputi Supritendan Amran Ramli.
"Selain heroin, polis turut merampas wang tunai RM9,800 dan 6,000 baht (RM600)," ujar beliau.
Beliau memberitahu, dua suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh dan pemandu lori berasal dari Pasir Mas, Kelantan seta wanita itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dihukum gantung mandatori.
Dalam kejayaan lain, Roslan berkata, polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dan merampas sebanyak 246 gram dadah jenis syabu bernilai RM100,000.
Katanya, suspek berusia 28 tahun berasal dari Kampung Banggol Pauh di sini, ditahan di Jalan Sultan Omar kira-kira pukul 6 petang semalam.
"Suspek dipercayai ketua satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini yang berjaya dilumpuhkan pada Oktober lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment