Search This Blog

Saturday, March 6, 2010

Dera kanak-kanak: Kelindan lori, isteri direman


Sepasang suami isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam untuk ditahan reman selama tujuh hari berhubung dakwaan mendera sehingga mati seorang kanak-kanak berusia 18 bulan.


PETALING JAYA 5 Mac - Seorang kelindan lori dan isterinya ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes penderaan yang mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan di Pangsapuri Seri Ara, Damansara.
Majistret Aishah Hijriah Arshad membenarkan permohonan polis untuk menahan reman pasangan itu mulai hari ini sehingga 11 Mac mengikut peruntukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh majistret tersebut pada pukul 12 tengah hari iaitu kira-kira setengah jam selepas kedua-dua suspek itu tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Siasatan bagi kes penderaan, K. Hareswarral dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.
Suspek wanita berusia 23 tahun itu merupakan bekas pengasuh kanak-kanak malang itu.
Ketika tiba di mahkamah, kelindan lori berusia 33 tahun dan isterinya seorang suri rumah masing-masing memakai pakaian lokap berwarna ungu serta bergari, dilihat tidak bermaya.
Turut kelihatan di mahkamah ialah beberapa ahli keluarga suspek yang ternyata tidak senang dengan kehadiran pihak media yang menunggu sejak awal pagi.
Sebahagian mereka juga cuba menghalang wajah kelindan lori itu dan isterinya daripada dirakam media sewaktu dibawa masuk dan keluar mahkamah.
Difahamkan, beberapa individu yang mempunyai pertalian dengan keluarga mangsa juga hadir di mahkamah pagi ini.
Hareswarral merupakan anak tunggal kepada pasangan A. Karigalan, 42, seorang penerbit filem bebas dan K. Thilagawathy, 23.
Dia disahkan mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 12 tengah malam Rabu lalu dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan yang serius di seluruh badan.
Kanak-kanak malang itu patah enam tulang rusuk, cedera parah di bahagian kepala akibat dipukul, kemaluan dicekak dengan kuat berdasarkan penemuan kesan kuku dan hatinya pecah.
Menurut laporan, kejadian berlaku di Pangsapuri Seri Ara, Damansara di antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam, 3 Mac lalu selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada bekas pengasuh bayi itu yang juga jiran mereka.
Kanak-kanak itu ditinggalkan untuk sementara waktu sebelum ibu mangsa menyelesaikan urusan peribadi.
Sebelum itu, mangsa ditinggalkan bersama neneknya yang uzur, namun bimbang berlaku sesuatu yang buruk, ibu mangsa kemudian menghantar mangsa ke rumah suspek.
Suspek lelaki dipercayai telah menghantar kanak-kanak tersebut ke sebuah klinik sebelum membawa mangsa ke PPUM dengan mendakwa mangsa mati akibat tercekik gula-gula.
Kejadian itu juga berlaku genap seminggu selepas kematian Syafiah Humairah Sahari, 3.
Syafiah Humairah meninggal dunia selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya pada 25 Februari lalu.
Menurut seorang saksi, suspek yang kini sedang ditahan reman dilihat menyepak, mencampak dan memijak Syafiah Humairah di sebuah padang bola.
Kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu Bharu akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek.

No comments:

Post a Comment