Search This Blog

Tuesday, March 9, 2010

Bunuh: Mahkamah tolak pengakuan Rasidi


SEREMBAN 8 Mac - Penganggur, Rasidi Ismail hari ini mengejutkan semua pihak apabila membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh awal tahun ini.
Pengakuan lelaki berusia 32 tahun itu bagaimanapun ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin bagi memberi peluang kepadanya melantik peguam bela.
Ahmad Nasfy menjelaskan, mahkamah perlu berhati-hati sebelum boleh menerima pengakuannya kerana tertuduh berhadapan dengan empat pertuduhan membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
"Mahkamah ini tidak boleh menerima pengakuan yang dibuat kerana tertuduh tidak mendapat nasihat guaman yang sah.
"Mahkamah akan melantik peguam untuk beri nasihat dan melihat sama ada wujud keperluan menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan mental sebelum sebarang keputusan dibuat," ujarnya.
Ahmad Nasfy kemudian menetapkan 22 Mac ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.
Rasidi didakwa membunuh datuknya, Atan Daud, 87; neneknya, Sufiah Katas, 80; bapanya, Ismail Awang, 76; dan adik perempuannya, Siti Khadijah Ismail, 22, di dua buah rumah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Rasidi mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa.
Dia yang kelihatan tenang juga mengangguk tanda faham tentang hukuman yang akan diterima akibat daripada pengakuannya itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu, Rasidi perlu diberi peluang melantik peguam bela atau mendapatkan nasihat guaman sebelum mahkamah boleh menerima pengakuannya.
"Malahan bapa saudaranya yang hadir pada hari ini juga meminta supaya dibenarkan anak buahnya itu mendapatkan khidmat guaman.
"Dia juga telah meminta mahkamah ini melantik peguam bagi pihak diri tertuduh," kata Wan Shaharuddin.
Hadir sama di mahkamah hari ini ialah ibu Rasidi, Zaharah Atan, 59, dan ahli keluarga terdekat.
Zaharah yang ditemui pemberita berkata, dia amat berharap kes yang membabitkan anaknya itu diselesaikan segera.
"Saya gembira permohonan kami agar mahkamah melantik peguam bela mewakili anak saya telah diterima," katanya.
Dalam kejadian tersebut, Atan, Sufiah, Ismail dan Siti Khadijah ditemui mati dalam keadaan mengerikan di dua buah rumah berasingan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh.
Mayat Atan ditemui putus tangan kanan manakala isterinya, Sufiah putus tangan kiri. Ismail pula putus kepala dan Siti Khadijah ditemui dengan sebilah senjata tajam terpacak pada dadanya.
Rasidi ditahan di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
Kepala Ismail yang dibawa lari oleh Rasidi pula telah ditemui tertanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment