Search This Blog

Friday, March 19, 2010

Bekas Pengarah Perhutanan Kedah didakwa lagi tuduhan rasuah


KUALA LUMPUR 18 Mac - Selepas menghadapi dakwaan rasuah RM5,000 di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah dua minggu lalu, bekas Pengarah Perhutanan Negeri Kedah sekali lagi didakwa atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kasim Osman, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.
Lelaki itu didakwa bersetuju menerima suapan RM20,000 daripada Yee Gan Sing sebagai dorongan untuk membantu dan meluluskan permohonan syarikat pembalakan, AK Millenium Enterprise untuk menarik balik tender pembalakan di Kompartmen 71-A Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik yang disertai syarikat itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik No. 1810 Hotel Grand Seasons di No. 72, Jalan Pahang di sini antara pukul 12 tengah hari dan 12.45 tengah hari, 16 Julai tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhilah Awang menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 memandangkan jumlah suapan yang terlibat adalah besar.
Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili tertuduh, Mohd. Firuz Jaffril membantah dan memohon jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar diambil kira.
Menurut beliau, pada 2 Mac lalu, Hakim Khairul Anuar Abd. Halim membenarkan anak guamnya diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dibicarakan bersama kes terdahulu pada 10 dan 11 Mei ini.
Komathy tidak menetapkan sebarang jaminan dan membenarkan kes tersebut dipindahkan seperti yang dipohon oleh peguam itu.
Di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kasim didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada individu yang sama dan untuk tujuan yang serupa di pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bangunan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar, Kedah.

No comments:

Post a Comment