Search This Blog

Thursday, March 18, 2010

Bapa ayam tua ditahan





KUANTAN 17 Mac - Kegiatan seorang peniaga berusia 74 tahun yang menjadikan kedai runcitnya sebagai pusat pelacuran terbongkar apabila polis menyerbu premis itu di Jalan Wang Ah Jang di sini malam tadi.
Dalam serbuan pukul 10 malam itu, polis menahan 'bapa ayam' terbabit bersama dua wanita dipercayai pelacur berusia 23 dan 36 tahun bersama pelanggan masing-masing yang merupakan warga Nepal dan Myanmar berumur 30-an.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pihaknya juga merampas 400 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2,000 kerana pemilik kedai terbabit menjualnya tanpa lesen.
"Ketika serbuan, kita dapati warga emas itu juga tidak mempunyai lesen yang sah menjual minuman keras dan kesemua hasil rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Kastam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Menurut Kamaruzzaman, ketika pemeriksaan dilakukan di tingkat atas premis itu, pihaknya mendapati dua wanita terbabit sedang berasmara bersama pelanggan masing-masing dalam bilik berasingan.
"Kita percaya tingkat atas premis itu dijadikan pusat menjalankan aktiviti pelacuran.
"Kesemua mereka yang ditahan, disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, kata Kamaruzzaman, polis sedang memburu empat lelaki berusia 20-an yang dipercayai terlibat dalam aktiviti menyamun dengan menyamar sebagai anggota polis di sekitar bandar ini.
Dalam kes terbaru semalam, kata beliau, seorang lelaki berusia 22 tahun disamun oleh empat lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di Jalan Mat Kilau di sini.
Katanya, kejadian pada pukul 8.40 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang meletakkan motosikalnya di kawasan tersebut.
"Tiba-tiba dia didatangi empat lelaki dengan menaiki dua motosikal sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum menendang mangsa sehingga jatuh ke atas tanah.
"Selepas merampas kunci motosikal mangsa, kesemua suspek itu turut merampas gelang, cincin dan sebuah telefon bimbit bernilai RM1,300 sebelum melarikan diri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment