Search This Blog

Monday, March 8, 2010

Anggota polis dituduh terima rasuah

KOTA BHARU 7 Mac - Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan menerima dan meminta rasuah daripada dua penternak lembu di negeri ini.

Lans Koperal Mohd. Farham Ahmad Sahudin, 27, yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Farham dituduh meminta suapan wang tunai RM200 pada 29 Disember 2008 daripada Mohammad Shahril Mohd. Nor sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.

Mohammad Shahril ketika itu disyaki melakukan pemindahan ternakan lembu di negeri ini tanpa mempunyai permit yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Farham didakwa menerima wang berjumlah RM180 ketika bertemu di atas Jambatan Sultan Ismail Petra, Pasir Mas di sini, sehari selepas meminta suapan berkenaan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh pada 2 Februari tahun lalu didakwa meminta suapan sebanyak RM200 daripada Sufian Mohd. Nor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan selepas lelaki berkenaan disyaki melakukan kesalahan yang sama dengan Mohammad Shahril.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa bersetuju untuk menerima suapan sebanyak RM200 daripada lelaki itu di Kampung Tok Buak, Pasir Mas pada 8 Februari tahun lalu.

Wan Fadhilah kemudiannya bersetuju menetapkan bayaran RM2,000 sebagai ikat jamin dengan seorang penjamin manakala 7 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

"Saya harap tertuduh dapat melantik peguam untuk perbicaraan itu kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment