Search This Blog

Monday, March 8, 2010

Amah bakar rumah majikan diawasi kedutaan

KUALA TERENGGANU 7 Mac - Amah remaja warga Indonesia yang mencuri dan membakar rumah majikannya di Seberang Takir dekat sini Januari lalu akan diletakkan di bawah penjagaan dan pengawasan Kedutaan Indonesia selama tiga tahun.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Majistret dalam prosiding tertutup berhubung kes itu hari ini.

Peguam bela tertuduh, Raftfizi Zainal Abidin berkata, Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh membuat keputusan menempatkan Fiona Maya Paksi, 14, di rumah perlindungan Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur.

Katanya, mahkamah turut menetapkan Fiona perlu dibawa ke balai polis berdekatan sebulan sekali dalam tahun pertama.

''Dia perlu berada selama setahun di tempat penjagaan tersebut sebelum kedudukannya dikaji semula oleh Kedutaan Indonesia iaitu dihantar pulang atau kekal di sana," katanya kepada media di luar mahkamah di sini, petang ini.

Menurut Raftfizi, Fiona kesal dengan apa yang berlaku dan ingin pulang ke kampung halamannya.

Pada 13 Januari lalu, Fiona mengaku bersalah di atas tuduhan mencuri daripada rumah majikannya.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa mencuri dua buah komputer riba, sebuah modem jalur lebar, tetikus dan sebuah beg milik majikannya, Mazli Mohamad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lot 103, Taman Murni Indah, Telaga Indah, Seberang Takir, di sini di antara pukul 10 pagi dan 10.30 pagi, 6 Januari lalu.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh.

No comments:

Post a Comment