Search This Blog

Tuesday, March 30, 2010

8 maut letupan di Moscow





2010/03/30



sebelum  -  selepas

<strong>KEADAAN stesen   di Park Kultury yang terbabit letupan kedua selepas 15 minit letupan pertama di stesen Lubyanka, Moscow, semalam.</strong>

KEADAAN stesen di Park Kultury yang terbabit letupan kedua selepas 15 minit letupan pertama di stesen Lubyanka, Moscow, semalam.
Dua wanita letupkan bom di stesen kereta api bawah tanah Russia

MOSCOW: Dua pengebom bunuh diri wanita meletupkan bom dipasang pada badan mereka di dalam kereta api bawah tanah dalam serangan berkembar pada waktu puncak di Moscow pagi semalam.

Serangan berasingan itu yang berlaku selang 45 minit melumpuhkan pergerakan di tengah Moscow ketika berjuta penduduknya bersesak untuk pergi ke tempat kerja.

Saksi di tempat kejadian berkata suasana panik menyusul di dua stesen yang terbabit sebaik saja letupan berlaku dengan penumpang bergegas keluar kereta api dan stesen yang diselubungi asap dan debu.

Pihak berkuasa Russia segera mengarahkan peningkatan tahap kawalan di lapangan terbang kerana bimbang lebih banyak serangan akan menyusul.

Setakat ini tidak ada kumpulan mengaku bertanggung jawab terhadap serangan terburuk sejak enam tahun lalu di ibu negara Russia itu.
Jurucakap Kementerian Kecemasan, Svetlana Chumikova berkata seramai 24 orang terbunuh dalam letupan di stesen Lubyanka di tengah Moscow yang berlaku sejurus sebelum 8 pagi waktu tempatan.

Stesen itu terletak di bawah bangunan yang menempatkan pejabat utama Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan atau FSB, yang sebelum ini digelar KGB.
Manakala letupan kedua membabitkan stesen Park Kultury kira-kira 45 minit selepas itu. Chumikova berkata sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh di stesen kedua terbabit.

Datuk Bandar Moscow, Yuri Luzhov berkata kedua-dua letupan dipercayai dilakukan dua pengebom bunuh diri wanita ketika kereta api mula memasuki stesen. Dalam serangan pertama, pihak berkuasa berkata letupan berlaku di atas kereta api ketika ia sampai di stesen Lubyanka, tetapi belum ada maklumat lanjut mengenai letupan kedua.

“Data awal yang diberikan FSB menunjukkan dua pengebom bunuh diri wanita terbabit,” kata Luzhkov kepada pemberita di Park Kultury.

Badan penyiasat Russia mengesyaki serangan itu dilakukan oleh pengganas.
Serangan ganas terakhir di Moscow adalah pada Ogos 2004 apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom di luar sebuah stesen bawah tanah, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang.

Pemberontak Chechen dipertanggungjawabkan dalam letupan terbabit dan dalam kejadian semalam ia turut memfokuskan kepada kumpulan yang sama dan juga kumpulan pemisah lain di wilayah Caucasus Utara.

Sistem kereta api bawah tanah Moscow adalah antara paling sibuk di dunia, membawa kira-kira 7 juta penumpang secara purata pada hari bekerja.

Letupan melumpuhkan pergerakan di pusat bandar raya utama menyukarkan kenderaan kecemasan ke stesen terbabit. Helikopter turut dilihat berlegar di kawasan stesen Park Kultury berhampiran Gorky Park. – AP

No comments:

Post a Comment