Search This Blog

Thursday, February 4, 2010

Tarikh semakan ditentukan minggu ini


PUTRAJAYA 3 Feb. - Tarikh pendengaran semakan terhadap keputusan akhir Mahkamah Persekutuan yang menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakses semua dokumen penting pendakwaan sebelum kes liwatnya bermula, akan ditetapkan selewat-lewatnya Jumaat ini.
Sehubungan itu, perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan berjalan seperti biasa dengan memanggil saksi-saksi pendakwaan memberi keterangan.
Peguam Karpal Singh yang mewakilinya memberitahu, jaminan penentuan tarikh semakan itu diberikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dalam pertemuan hampir sejam di kamar beliau pagi ini.
Menurut Karpal, pihaknya memohon prosiding itu dipercepatkan bagi membolehkan beberapa persoalan undang-undang yang masih tergantung diselesaikan di peringkat tertinggi terlebih dahulu sebelum perbicaraan penuh bermula.
Ujar beliau, pihaknya mahu perbicaraan yang akan ditetapkan kelak berjalan lancar setelah semua perkara berbangkit di peringkat Mahkamah Tinggi dimuktamadkan.
"Saya memohon tarikh semakan ditetapkan awal, jika boleh esok. Buat masa ini, perbicaraan kes berjalan petang ini," ujar beliau ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di sini.
Karpal hadir bersama Datuk Param Cumaraswamy, S.N. Nair, C.V. Prabhakaran dan Ramkarpal Singh Deo bagi memohon tarikh awal ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu menolak rayuan akhir Anwar untuk mengakses semua dokumen penting pendakwaan sebelum perbicaraan kes liwatnya bermula.
Turut hadir mewakili pihak pendakwaan terdiri daripada Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan dan Wong Chiang Kiat.
Karpal turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan usul selewat-lewatnya esok agar Mahkamah Rayuan mendengar permohonannya untuk menggantung perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan perbicaraan bermula hari ini.
Semalam, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan kes setelah berpendapat, tiada keadaan luar biasa yang memerlukan beliau membenarkan penangguhan.
Anwar sebelum itu memohon penangguhan perbicaraan atas alasan rayuan untuk membatalkan tuduhan liwat belum didengar di Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, Nair memberitahu petang ini, pihaknya telah memfailkan petisyen rayuan dan notis usul untuk menangguhkan perbicaraan hari ini sementara menunggu rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak pertuduhan liwat dibatalkan.
Tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan bagi kedua-dua permohonan itu.

No comments:

Post a Comment