Search This Blog

Monday, February 8, 2010

Polis tumpaskan Geng Fatah, tahan 4 orang termasuk ketua


KOTA BHARU 7 Feb. - Polis berjaya menumpaskan 'Geng Fatah' yang amat dikehendaki selepas menahan empat lelaki termasuk ketuanya dalam dua serbuan di sekitar daerah ini, malam semalam dan awal pagi ini.
Kumpulan yang aktif sejak tahun lalu itu disifatkan polis sebagai berbahaya kerana dikatakan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh anggota polis jika terdesak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, siasatan mendapati geng itu terbabit dalam beberapa kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan di negeri ini.
Menurutnya, polis pernah cuba untuk memberkas ketuanya yang berusia 21 tahun dalam satu kejadian pada 3 November lalu namun gagal.
"Ini kerana suspek yang berasal dari Pulau Gajah di sini telah melepaskan diri pada ketika itu apabila bertindak nekad melanggar anggota dan pegawai kanan polis.
"Bagaimanapun berdasarkan hasil risikan yang dilakukan, kita berjaya menahan ketua geng ini pada pukul 11.30 malam tadi di Gong Jerak, Pengkalan Chepa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mazlan berkata, susulan penahanan suspek, polis menahan tiga lagi anggota geng itu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Belukar, Bukit Marak, pada pukul 3.30 pagi.
Katanya, polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira, sebilah pedang samurai, sebilah parang dan beberapa peralatan yang digunakan untuk memecah rumah.
"Siasatan mendapati seorang daripada anggota geng itu yang berusia 25 tahun berasal dari Kampung Belukar. Dua lagi berusia 25 dan 29 tahun berasal dari Kuantan, Pahang dan Taman Cheras, Kuala Lumpur.
"Hasil pemeriksaan, tiga termasuk ketua geng itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod," katanya.
Tambahnya, semua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

No comments:

Post a Comment