Search This Blog

Thursday, February 4, 2010

Penyokong PKR cuba buat kecoh


KUALA LUMPUR 3 Feb. - Tindakan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba membuat kecoh di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berjaya digagalkan polis.
Kumpulan penyokong yang hadir untuk mengikuti perbicaraan kes liwat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu cuba membawa masuk kain rentang ke lobi mahkamah sebelum dihalang polis.
Berikutan itu, berlaku pergelutan dan tolak menolak antara sebahagian kira-kira 30 penyokong terbabit dengan polis.
Namun tindakan profesional polis yang tidak melayan kerenah penyokong terbabit berjaya memulihkan keadaan.
Keadaan kembali gamat apabila Anwar tiba di mahkamah pada pukul 2.30 petang dengan ditemani isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail serta anak perempuan dan menantunya.
Anwar yang masuk ke lobi mahkamah bagaimanapun dilihat tidak ke kamar mahkamah di tingkat lima sebaliknya terus ke kafe di tingkat bawah untuk membincangkan sesuatu dengan salah seorang peguamnya.
Beliau kemudian berada di lobi dan sempat bertemu dengan sebahagian wartawan sebelum naik ke tingkat lima.
Ketika perbicaraan dijalankan dengan mengemukakan saksi pertama, suasana di lobi dan luar kamar mahkamah kelihatan tenang berbanding semalam.
Situasi kembali gamat ketika Anwar hendak keluar dari lobi mahkamah namun sorakan penyokong PKR terhenti apabila dijerkah oleh petugas media yang sedang menemuramah pemimpin mereka itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang ditemui berkata, suasana di Mahkamah Tinggi itu hari ini lebih tenang dan terkawal berbanding semalam.
"Kita berjaya menyekat pihak yang membawa kain rentang dan cuba mewujudkan kekecohan di lobi mahkamah.
"Keadaan lebih tenang terutama di luar kamar dan lobi mahkamah," katanya.

No comments:

Post a Comment