Search This Blog

Monday, February 1, 2010

Padah rempuh sekatan jalan

KANGAR 31 Jan. - Seorang mat rempit yang merempuh seorang anggota polis dalam satu sekatan jalan raya, ditahan selepas dia dirawat bersebelahan dengan katil anggota polis terbabit di Hospital Tuanku Fauziah di sini.

'Rahsia' itu terbongkar setelah petugas unit kecemasan hospital terbabit bertanya punca kecederaan yang dialami remaja berusia 15 tahun itu.

Mat rempit itu yang masih bersekolah dalam tingkatan tiga memaklumkan bahawa dia mengalami luka-luka setelah motosikalnya terbalik selepas merempuh polis di Wang Kelian.

Pengakuan remaja itu mengejutkan anggota polis terbabit yang dirawat di katil sebelah mat rempit itu selepas dia dirempuh oleh sebuah motosikal di Kilometer 32, Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Berikutan itu, polis yang sedang mengesan remaja bermotosikal yang merempuh seorang anggotanya menahan pelajar terbabit sebaik sahaja dia dibenarkan keluar dari hospital.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan kes Konstabel Mohamad Azlan Selamat, 24, dari Balai Polis Kaki Bukit, Padang Besar yang dirempuh dalam kejadian malam tadi.

"Kejadian malam tadi berlaku ketika anggota polis terbabit bersama seorang lagi rakannya memberikan isyarat berhenti kepada sekumpulan tiga lelaki yang sedang berlumba motosikal.

"Tiba-tiba, Konstabel Mohamad Azlan dirempuh oleh salah sebuah motosikal yang ditunggang tanpa lampu menyebabkan mangsa terjatuh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar hari ini.

Selepas merempuh anggota polis berkenaan, katanya, mat rempit itu melarikan diri.

Kata beliau, sebaik sahaja pulang ke rumah, ibunya membawa remaja itu ke hospital untuk menerima rawatan.

Menurutnya, hasil soal siasat pihaknya, remaja itu yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Berikutan itu, kata beliau, polis menahan dua lagi rakannya iaitu seorang pemuda yang bekerja sebagai tukang rumah berusia 19 tahun dan seorang lagi penoreh getah berusia 18 tahun.

Ditanya mengenai kesalahan yang dilakukan oleh tiga remaja terlibat, Che Man berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau lagi, anggota polis yang dirempuh itu mengalami kecederaan di tangan, kaki, muka dan badan.

No comments:

Post a Comment