Search This Blog

Thursday, February 4, 2010

Nipah selindung balak haram



MOHD. Razlin Abd. Manaf (kiri) bersama dengan pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) membuat pemeriksaan ke kem pembalakan yang beroperasi secara haram dalam operasi di Sungai Loga Bunut, di Sarikei, Sarawak, semalam.


SARIKEI 3 Feb. - Pokok nipah biasanya ditanam untuk menjaga tebing sungai dan ekologi sistem di kawasan tersebut.
Namun lain pula berlaku di Loba Bunut dekat daerah Meradong, apabila pokok itu yang tumbuh merimbun sebenarnya digunakan untuk melindungi kegiatan pembalakan haram.
Perkara itu didedahkan Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang menjalankan operasi kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin.
Hasilnya, PGM menemui kira-kira 250 batang kayu balak pelbagai jenis dan dua jengkaut yang dianggarkan mencecah nilai RM600,000 .
Ketua Bahagian Risikan dan Operasi PGM Wilayah 5, Deputi Supritendan Mohd Razlin Abdul Manaf berkata, lapan lelaki warga asing yang dipercayai mendalangi kegiatan itu bagaimanapun berjaya melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran penguat kuasa.
Beliau berkata, operasi dijalankan Pegawai Pemerintah Markas Taktikal Sarikei, Cif Inspektor Enturan Lageh bersama dua anggota.
"Kita hanya berjaya menemui kem pembalakan dengan kayu balak dan jengkaut yang ditinggalkan mereka.
"Kumpulan pembalak itu terpaksa berputih mata kerana kita percaya kayu balak itu dikumpulkan sejak seminggu lalu.
"Kayu-kayu itu sedia untuk diisi ke dalam tongkang sementara menunggu air pasang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Mohd Razlin memberitahu, rampasan itu adalah kali keempat sejak awal tahun ini yang kesemuanya membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1.28 juta.
Katanya, serbuan pertama dan kedua dilakukan di kawasan perairan Loba Semareng membabitkan nilai RM600,000 pada 1 dan 7 Januari lalu.
Tambahnya, serbuan ketiga pula di kawasan perairan Batang Igan pada 30 Januari lalu dengan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM80,000.
"Kesemua mereka menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyorokkan kegiatan haram berkenaan di sebalik pokok nipah dan licik untuk melepaskan diri.
"Kesemua balak dan jengkaut yang dirampas itu kemudian diserahkan kepada pihak Sarawak forestry Corporation (SFC) dan disiasat mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment