Search This Blog

Monday, February 1, 2010

Mubaligh cuba culik anak yatim


ANTARA 10 warga Amerika yang ditahan kerana cuba menyeludup kanak-kanak Haiti.

10 anggota gereja dakwa mahu selamatkan kanak-kanak mangsa gempa Haiti

PORT-AU-PRINCE: Sepuluh rakyat Amerika Syarikat ditahan di Haiti kelmarin apabila cuba membawa sekumpulan 33 kanak-kanak menyeberangi sempadan ke Republik Dominica, kerana tidak menggunakan dokumen sah.

Anggota gereja Baptist dari Idaho menggelarnya 'Misi Menyelamatkan Anak Yatim Haiti' bertujuan menyelamatkan kanak-kanak mangsa gempa bumi Haiti.

Mereka mulanya merancang membawa 100 kanak-kanak itu dengan bas ke sebuah hotel di pusat peranginan tepi pantai di Republik Dominica kerana ada rancangan menubuhkan sebuah pusat anak yatim.
Sama ada mereka sedar atau tidak, rakyat Amerika itu, pertama kali ditahan sejak gempa bumi 12 Januari lalu, menambah kecelaruan di Haiti kerana pemimpin kerajaan menggantung pengambilan anak angkat selepas bimbang kanak-kanak tanpa ibu bapa atau yang hilang lebih terdedah kepada penyeludupan kanak-kanak.

"Dalam huru hara ini, kami cuba melakukan perkara yang betul," kata pemimpin kumpulan Laura Silsby kepada The Associated Press di ibu pejabat polis di ibu kota ini tempat mereka ditahan sementara menunggu sebutan di hadapan hakim, hari ini.
Silsby berkata, mereka berniat baik dan tidak membayar wang untuk membawa kanak-kanak terbabit dalam jagaan paderi terkenal Haiti dikenali sebagai Jean Sanbil dari 'Sharing Jesus Ministries.'

Silsby, 40, dari Boise, Idaho, ditanya jika dia tidak dianggap bodoh membawa kanak-kanak itu menyeberangi sempadan tanpa dokumen ketika rakyat Haiti terlalu bimbang mengenai penyeludupan kanak-kanak.

"Tidak mungkin kami sebahagian daripadanya. Itulah yang kami cuba elakkan," katanya.

Menteri Hal Ehwal Sosial, Yves Cristallin memberitahu media bahawa rakyat Amerika itu disyaki mengambil bahagian dalam skim pengambilan anak angkat secara haram.
Cristallin berkata, 33 kanak-kanak dibawa lewat kelmarin dari sebuah Perkampungan Kanak-kanak SOS di luar ibu kota ini. Perkampungan Kanak-kanak SOS adalah organisasi tanpa keuntungan global berpusat di Austria.

Ramai kanak-kanak di rumah anak yatim Haiti sebenarnya bukan yatim piatu namun ditinggalkan keluarga yang tidak mampu menjaga mereka.

No comments:

Post a Comment