Search This Blog

Monday, February 1, 2010

Lempar kepala babi: Polis temui petunjuk

SUBANG JAYA 31 Jan. - Polis Selangor sudah menemui petunjuk berhubung suspek yang terlibat dalam kes lempar kepala babi di Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, petunjuk itu bagaimanapun tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana ia boleh mengganggu siasatan.
"Petunjuk itu diperoleh selepas kita mengambil keterangan daripada hampir 10 orang termasuk ahli jawatankuasa masjid yang menjumpai kepala babi itu serta beberapa orang awam.
"Selain itu kita juga mendapat petunjuk tersebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di belakang masjid itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Balik Kampung, Rumah Selamat sempena sambutan Tahun Baru Cina di The Summit USJ di sini hari ini.
Awal pagi Khamis lalu, dua kepala babi hutan yang dibungkus dalam beg plastik bersama sejumlah wang kertas ditemui di pekarangan Masjid Jumhuriah.
Kejadian sama turut berlaku di Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Seri Sentosa, yang terletak kira-kira empat kilometer dari masjid itu.
Kedua-dua insiden itu dikatakan berlaku sebelum umat Islam menunaikan solat Subuh.
Siasatan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh individu sama berdasarkan modus operandinya dengan melempar kepala babi dan meninggalkan beberapa helai wang kertas.
Sementara itu, pada majlis pelancaran kempen sempena Tahun Baru Cina ini, Khalid memberitahu, orang ramai yang akan meninggalkan rumah mereka diminta mengutamakan ciri-ciri keselamatan.
''Polis meminta penduduk yang ingin pulang ke kampung supaya mendaftar di balai-balai polis berhampiran.
"Dengan makluman mereka, polis mudah membuat rondaan dan mengawasi kediaman yang ditinggalkan oleh penghuni sempena musim cuti kali ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment