Search This Blog

Monday, February 8, 2010

Lagi wanita ditahan minum arak di Pahang


KUANTAN 7 Feb. - Dua wanita antara 15 orang Islam yang ditahan kerana meminum arak dalam operasi Ops Taubat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di beberapa buah pusat hiburan dan hotel di sekitar bandar ini, tengah malam tadi.
Dalam operasi selama dua jam bermula pukul 12 tengah malam itu, enam pasangan turut ditahan kerana disyaki berkhalwat.
Ketua Penguat Kuasa Agama JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 55 tahun dengan sebahagian daripada mereka berasal dari luar bandar ini.
Katanya, semua yang ditahan kerana minum arak akan didakwa di Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).
"Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM3,000 atau tiga tahun penjara dan enam kali sebatan atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Operasi itu disertai 40 kakitangan JAIP dengan kerjasama polis.
Ahmad Raffli menambah, bagi kesalahan berkhalwat, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 145 (1) dan (2) enakmen sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"Semua pesalah khalwat dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin.
"Bagi pesalah minum arak pula, masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM3,000 disertai dua penjamin bagi setiap pesalah," katanya.
Tambahnya, pihaknya akan meneruskan operasi seumpama itu bagi membendung gejala tidak bermoral tersebut daripada terus berleluasa.
Beliau menyifatkan penahanan tersebut sebagai memalukan kerana hampir semua pelanggan di pusat-pusat hiburan terbabit adalah orang Islam.
"Hanya dua tiga orang sahaja yang bukan beragama Islam. Perbuatan mereka ini memang keterlaluan, mahukan keseronokan hingga lupa batas-batas agama," katanya.

No comments:

Post a Comment