Search This Blog

Monday, February 1, 2010

Lagi penulis blog hina raja Melayu disiasat

JOHOR BAHRU 31 Jan. - Polis sedang menyiasat beberapa lagi penulis blog yang didapati menyentuh atau menghina institusi raja-raja Melayu dalam laman blog mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya bukti berhubung kegiatan tersebut mencukupi, kesemua mereka yang terlibat akan didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengumpul bukti terhadap kes-kes berkenaan.

''Tindakan yang diambil adalah bukti pihak kerajaan amat serius membendung perkara yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan orang awam terutama hal berhubung kait dengan institusi raja, agama dan kaum.

''Pihak kementerian dengan kerjasama SKKM juga akan terus memantau laman blog yang menyentuh tentang perkara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Jumaat lalu, seorang juruteknik komputer sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban terhadap pertuduhan menghina institusi kesultanan dan rakyat Johor menerusi blog adukataruna.blogspot.com pada 22 Januari lalu.

Khairul Nizam Abdul Ghani, 29, didakwa melakukan kesalahan itu di No.297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi, di sini antara 7.25 malam dan 9.05 malam.

Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Semberong berkata, tindakan menyentuh perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai adalah suatu perkara yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab apatah lagi ia melibatkan imej sesebuah negara.

''Saya percaya kita sepatutnya bersatu dalam memikul tanggungjawab berhubung kes sensitiviti orang ramai seperti institusi raja-raja Melayu dan agama agar ia tidak berleluasa sehingga membakar emosi rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment