Search This Blog

Wednesday, February 3, 2010

Kematian Dr. Cynthia disebabkan kemalangan

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Mahkamah Koroner di sini hari ini menolak sebarang unsur jenayah dalam kes kematian Dr. Cynthia Joseph sebaliknya mendapati ia adalah kemalangan.
Majistret Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian setelah meneliti keterangan saksi-saksi yang menyatakan, tiada sebarang kecederaan dalaman mahupun luaran ditemui pada mayat mendiang.
Ia termasuklah keterangan pakar bedah yang menjalankan bedah siasat tersebut yang tidak dapat menyatakan dengan tepat, kuantiti dadah midazolam yang dijumpai pada hati dan buah pinggang mendiang.
''Saya mengambil kira keterangan pakar bedah siasat, Prof Dr. Shahrom Abd. Wahid yang mendakwa kandungan midazolam itu gagal memberikan jawapan tepat sama ada Cynthia mengambilnya sendiri atau telah diberi dadah secara berlebihan.
''Segala keterangan yang dikemukakan saksi-saksi lain adalah terlalu jauh untuk dikaitkan berlakunya unsur jenayah," katanya.
Tasnim turut menyatakan cara mendiang menemui ajalnya tidak dapat diberikan dengan tepat berdasarkan laporan bedah siasat yang gagal dijalankan secara sempurna memandangkan mayat sudah mereput.
Laporan tersebut menyatakan kandungan dadah tersebut adalah tidak bahaya sehingga boleh menyebabkan kematian, tetapi jumlah itu mampu membuat seseorang berada dalam keadaan yang sangat lemah.
Tasnim juga mengambil kira pendapat kedua dalam keterangan Shahrom yang melampirkan pandangan Ketua Patologi di Victoria Institute of Forensic Medicine, Dr. Matthew Lynch yang turut menyatakan kematian wanita itu tidak dapat dipastikan.
Menjawab mengenai bila dan di mana mendiang menemui ajalnya, Tasnim mendapati siasatan membuktikan wanita itu meninggal dunia pada pukul 11.30 malam, 27 September 2004 di Pusat Perubatan Cheras Pantai.
Kematian Cynthia mendapat perhatian umum pada 2 Disember tahun berkenaan apabila mayatnya digali semula selepas dua bulan dikebumikan.
Ia berikutan laporan polis oleh adik mendiang, Dr. Charlotte Jane yang mendakwa kematian kakaknya disebabkan perbuatan khianat.
Prosiding inkues dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Zulkifli mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah.
Suami mendiang, Dr. Retna Rasa diwakili peguam pemerhati, Datuk V. Sithambaram.

No comments:

Post a Comment