Search This Blog

Wednesday, February 3, 2010

Hadapi tiga tuduhan berasingan lakukan khianat dengan api 4 lelaki didakwa bakar gereja


Empat individu yang disyaki terbabit dalam kes cubaan membakar dua gereja dan sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, semalam.


TAIPING 2 Feb. - Empat lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes cubaan membakar dua gereja dan sebuah sekolah di sini pada 10 Januari lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Andidi Rosidi, 22, Muhammad Azreen Rosli, 18, Abdul Fattah Shaharuddin, 29 dan Muhamad Ab. Wahab, 20, semuanya dari Kamunting dekat sini menghadapi tiga tuduhan berasingan.
Mereka dituduh melakukan khianat dengan api ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, Gereja Katolik St. Louis dan Gereja All Saints pada hari berkenaan.
Andidi didakwa melakukan kesalahan itu di SMK Convent.
Muhammad Azreen pula didakwa melakukan kesalahan serupa di Gereja Katholik St. Louis, kedua-duanya di Jalan Convent, antara pukul 12.01 tengah malam dan 3.30 pagi.
Manakala Abdul Fattah dan Muhamad didakwa melakukan khianat di Gereja All Saints, di Jalan Taming Sari pada masa yang sama.
Keempat-empat mereka itu adalah antara tujuh lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes terbabit.
Mereka yang bekerja sendiri didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Abdul Fattah dan Muhamad turut didakwa mengikut Seksyen 34 kanun yang sama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan semasa pertuduhan dibacakan ke atas mereka oleh Majistret Sharifah Izura Syed Mashor yang kemudian menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada setiap Isnin sehingga hari sebutan kes.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam gagal membayar wang jaminan.
Sehubungan itu, tertuduh yang berumur di bawah 20 tahun dihantar ke Penjara Sungai Petani manakala melebihi 20 tahun dihantar ke Penjara Taiping sehingga hari sebutan kes.
Sementara itu, difahamkan, tiga lagi lelaki yang ditahan polis pada 22 Januari lalu akan dibebaskan dengan bon jaminan polis dan bakal menjadi saksi pendakwaan kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment