Search This Blog

Monday, February 8, 2010

Ditahan sejam lepas curi kereta


SUBANG JAYA 7 Feb. - Dua penjenayah berputih mata apabila ditahan bersama-sama kereta yang baru dicuri di tepi jalan di Seri Kembangan malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam iaitu sejam selepas mereka mencuri kereta Perodua Kelisa itu dari sebuah rumah di Kota Perdana, Taman Equine di sini.
Mereka berhenti di kawasan itu semata-mata untuk berbual selepas yakin mereka tidak diekori oleh sesiapa.
Namun, sebuah kereta peronda polis yang curiga dengan kehadiran kedua-dua suspek di kawasan itu telah memeriksa mereka.
Hasilnya, polis mendapati kedua-dua suspek menggunakan dua buah kereta curi iaitu Kelisa dan Toyota Wish.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, hasil soal siasat, polis menemui dua lagi kereta curi di dua lokasi di Serdang Raya.
"Polis menghubungi pemilik Kelisa itu dan memaklumkan keretanya telah dicuri dan berjaya ditemui semula," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek dipercayai saki baki anggota geng GTI yang pernah ditumpaskan sebelum ini.
"Modus operandi mereka ialah mencuri kereta tetapi tidak melakukan samun. Kita menyiasat kemungkinan mereka menjual kereta kepada bengkel untuk dileraikan," katanya.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 397A kerana mencuri kenderaan.

No comments:

Post a Comment